Telur import Malaysia ditarik balik

SINGAPURA 14 Okt. – Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan supaya telur yang diimport dari Teo Seng Layer Farm 1 di Malaysia ditarik balik atau digantung jualannya selepas Salmonella Enteritidis dikesan.

Menurut SFA dalam kenyataan media hari ini, telur yang terjejas boleh dikenal pasti melalui kod CEJ027.

Salmonella Enteritidis boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan jika makanan itu dimakan tanpa dimasak atau tidak cukup masak.

Secara khususnya, BH Fresh Food diarahkan menarik balik telur terjejas itu yang sudahpun diedarkan ke cawangan-cawangan runcit untuk dijual sebagai langkah berwaspada.

Lima lagi pengimport juga dimaklumkan supaya menggantung pengedaran telur terjejas itu sementara SFA juga menjelaskan telur-telur lain yang diimport oleh BH Fresh Food tidak terjejas,

SFA juga menyatakan Teo Seng Layer Farm 1 juga akan digantung dan tidak akan dibenarkan mengeksport telurnya ke Singapura sehingga ladang itu sudah memperbaiki isu pencemaran itu.

Salmonella Enteritidis boleh dihapuskan dengan haba dan telur-telur itu selamat dimakan jika ia dimasak sepenuhnya.

Menurut SFA Salmonella Enteritidis boleh bertahan dalam telur tidak masak dan tidak cukup masak, dan mungkin boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan.

Gejala-gejalanya termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, rasa mual dan muntah-muntah.

Walaupun jangkitan itu biasanya berkurangan dalam masa seminggu bagi kebanyakan orang, Salmonella Enteritidis boleh menyebabkan jangkitan serius bagi yang mudah terdedah seperti warga emas, anak-anak kecil dan mereka dengan sistem imun lemah.

SFA juga menasihatkan para pengguna yang membeli telur terjejas itu supaya memasak sepenuhnya sebelum dimakan. Mereka yang sudah memakan telur itu dan berasa tidak sihat harus mendapatkan perhatian perubatan.

Related posts

Leave a Comment