Tangguh kerjasama sebab ada ‘keruh’ dalam BN

MARANG 14 Okt. – Pas menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) kerana kekeruhan wujud dalam gabungan itu termasuk golongan pemberi rasuah yang belum diselesaikan, kata Presidennya, Abdul Hadi Awang.

“Kita tahu penerima rasuah ni ada dituduh, tak bersalah, difitnah macam-macam. Tapi tak selesai lagi. Penerima rasuah masih ada dalam BN,” katanya dalam Kuliah Dhuha secara langsung menerusi Facebook beliau dari Pantai Kelulut, Marang,

Di samping itu juga, Abdul Hadi mendakwa, BN juga cuai melaksanakan Islam walaupun sudah memerintah hampir 50 tahun.

“Melemahkan Islam. Ini kecuaian dia. Zalim, kita nak laksanakan Islam di Terengganu, di Kelantan, dia rampas royalti. Hasil minyak Terengganu patut dapat ke Terengganu dapat ke Kelantan. Hok Terengganu dia rampas. Hok Kelantan dia tak beri.

“Dia tekan Kelantan macam-macam. Katalah Kelantan tak boleh buat projek, tak boleh selesai masalah air, tak boleh, tak tak boleh, tak boleh, tak boleh ini. Tapi mu tak beri pitih. Kewajipan Kerajaan Pusat kena beri. Tapi buat main-main,” katanya.

Beliau memuji rakyat Kelantan yang sabar dalam kesusahan walaupun ‘didera’ sebegitu rupa sehingga masalah tidak selesai.

“Dah kali yang pertama 20 tahun, kali yang kedua 30 tahun dengan perjuangan Islam, tak tolak,” puji beliau terhadap sokongan rakyat Kelantan kepada perjuangan Islam dibawa Pas

Mengulas lanjut, beliau berkata, kekeruhan yang ada di dalam BN juga ditambah sikap tidak sabar dan rakus hendak memerintah, sedangkan Pas sudah menolong menjatuhkan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, Pas telah menarik semula orang UMNO yang keluar menubuhkan Bersatu dan menyertai PH hingga menang membentuk kerajaan, lalu dipujuk kepada penyatuan Melayu-Islam.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kita tubuh. Pas bersama dengan parti Bersatu, bersama dengan UMNO tubuh kerajaan. (Tapi) Dalam UMNO ni masih ada yang gelenyar lagi, yang tak insaf, yang tak sedar. Ini masalahnya, kekeruhan.

“Bukan kita nak bermusuh. Tak bermusuh. Tapi kerana ada keruh. Kerana ada keruh ni, kita tangguh dulu. Dengan sebab itu kita mengambil pendekatan untuk menjernihkan keadaan,” katanya.

Beliau mendakwa ramai yang datang memujuknya melibatkan pelbagai pihak yang setinggi-tinggi hingga serendah-rendah supaya bergabung dengan BN

“Saya kata, kita fikir-fikir dululah. Kita gabung dengan PN, tolak yang beri rasuah, tolak yang terima rasuah, laksana amar makruf, nahi mungkar walaupun ini lebih payah.

“Lebih senangnya dengan UMNO lah, boleh menang cepat. Orang ramai sokong, tapi kita tak gopoh. Macam buah durianlah. Jangan kait cepat sangat, kalau kait cepat sangat dak dan masak lagi, makan, kembung perut. Kembung perut.

“Dengan sebab tak mahu beri kembung perut inilah, biar masak betul-betul dulu. Saya tahu, ada orang Pas dia tak tahan, terliur sangat dah, dah, nak makan pengat durian. Terliur sangat dah. Durian mentah lagi, kena sabar dulu, biar masak molek dulu. Ada ini,” ujarnya.

Katanya di dalam BN juga, terdapat penerima rasuah walaupun pemberi rasuah sudah tidak berminat kepada mereka, selain ramai terlibat salah laku yang menyebabkan rakyat menerima susah dan masalah-masalah semakin membarah.

“Malah, kegopohan BN untuk mendapat kuasa hinggakan bertindak membubar Parlimen sesama musim banjir kerana ingin menang cepat mendapat kuasa serta mengheret Pas terlibat sama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment