Letak jawatan, pecat menteri DAP

KUALA LUMPUR 12 Nov . – Perikatan Nasional (PN) mencabar kerajaan memecat menteri daripada DAP susulan tindakan pemimpin parti itu yang didakwa mempersoal keputusan pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Setiausaha Agungnya,  Takiyuddin Hassan, berkata tindakan itu wajar diambil susulan kenyataan menteri DAP sebelum ini mahu meletakkan jawatan sekiranya Najib dibenarkan pulang ke rumah.

“Kita tak pertikaikan keputusan mahkamah, apatah lagi perintah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim seperti beberapa menteri daripada DAP yang secara tidak langsungnya mempertikaikan keputusan ‘Najib sampai rumah, aku letak jawatan’.

“Amboi engkau siapa? Kenapa engkau seorang saja letak jawatan? Kepada menteri-menteri DAP keluarkan semua.

Atau kita cabar Perdana Menteri buang, bagi nasihat kepada Sultan Ibrahim supaya pecat semua menteri daripada DAP mempersoalkan titah diraja dalam pengampunan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Malam tadi di PAYA RUMPUT pada kempen pilihan raya Melaka, PN mencabar seluruh kepemimpinan DAP supaya meletakkan jawatan sekiranya benar-benar berpegang kepada prinsip yang didakwa menjadi punca Setiausaha Agungnya, Anthony Loke meletakkan jawatan.

Timbalan Pengerusinya, Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan tindakan itu yang disifatkan tidak sepatutnya hanya melibatkan seorang pemimpin sedangkan keputusan berkaitan tahanan rumah Najib turut membabitkan proses dan bidang kuasa Lembaga Pengampunan.

“Kita cabar kepimpinan DAP kalau betul menentang keputusan ini apa yang berlaku (tahanan rumah Najib), letak jawatan semua…kononnya kami menentang prinsip bahawa (Najib) tak layak diberi pengampunan tahanan dalam rumah, takkan hanya Setiausaha Agung (DAP) letak jawatan?

“Ngar Kor Ming apa khabar? Menteri Wilayah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh) yang juga ahli dalam Lembaga Pengampunan, dia juga tahu,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Grand Finale PN & BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Kampung Krubong di sini, malam tadi.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas menegaskan keputusan berkaitan pengampunan dan tahanan rumah perlu dilihat dalam kerangka kuasa Yang di-Pertuan Agong serta proses undang-undang yang ditetapkan.

Beliau berkata, namun pelaksanaan tahanan rumah tidak bermaksud individu terbabit dibebaskan daripada menjalani hukuman penjara.

“Dia bukan bebas, dia terus ditahan sebagaimana banyak negara lain yang ada tahanan dalam rumah. Bagi kita ini hak prerogatif yang ada pada Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.

Loke menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Anwar pada 28 September lalu setelah mengumumkan hasrat itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada Selasa, Najib dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, bagi menjalani baki hukuman penjaranya melalui tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment