Inisiatif dapatkan pembiayaan AS3 bilion

GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan inisiatif mendapatkan akses kepada pembiayaan risiko bencana berjumlah lebih AS$3 bilion bagi melindungi 75 juta penduduk serta mata pencarian mereka menjelang 2030.

Inisiatif itu bertujuan menjadikan pembiayaan kecemasan lebih terjamin dan boleh dijangka melalui penggabungan kepakaran, perkongsian data serta penyelarasan sumber, termasuk menerusi kerjasama dengan sektor swasta dan industri insurans.

Ia dilancarkan pada Sidang Kemuncak Iklim COP31 di Antalya, Turkiye.

Platform Pembiayaan Risiko Bencana (DRF) PBB menghimpunkan enam agensi badan dunia itu bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan sebelum kecemasan berkaitan iklim dan bencana alam menjadi semakin serius.

Agensi itu adalah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Agensi Pelarian PBB (UNHCR) dan Program Makanan Sedunia (WFP).

PBB berkata, pembiayaan yang diatur lebih awal ketika ini merangkumi kurang daripada dua peratus daripada keseluruhan pembiayaan kemanusiaan global, sekali gus mengehadkan keupayaan agensi untuk bertindak secara proaktif terhadap bencana yang boleh dijangka.

Pengarah Pembiayaan dan Jangkauan OCHA, Lisa Doughten berkata, bencana semakin mudah diramal, namun pembiayaan yang diperlukan untuk mengambil tindakan lebih awal masih lambat dan tidak diselaraskan dengan baik.

Menjelang pelancaran itu, OCHA dan UNICEF memperoleh polisi insurans bagi program tindakan awal masing-masing dengan sokongan teknikal daripada WFP.

WFP memaklumkan bahawa pihaknya membantu mendapatkan pembiayaan yang diatur lebih awal berjumlah hampir AS$211 juta pada tahun ini bagi melindungi sehingga 9.6 juta penduduk di lebih 50 negara.

Nnn

Related posts

Leave a Comment