Mangsa banjir di Batu Pahat berkurangan

JOHOR BAHRU 23 Mac – Mangsa banjir di Batu Pahat semakin berkurangan dengan jumlah terbaharu setakat pukul 8 pagi, seramai 967 orang daripada 269 keluarga di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor,  Dr Azmi Rohani, berkata jumlah itu sedikit menurun berbanding 1,086 orang (299 keluarga) pada pukul 8 malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, berkata dua PPS ditutup membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Telok Parit Yaani (sembilan orang) dan Dewan Orang Ramai Seri Medan (80 orang).

Sementara itu, dalam satu kenyataannya, beliau berkata, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan lebat di seluruh negeri Johor.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan semua lembangan sungai berada di bawah paras normal.

Menurut Azmi, dari segi proses pembersihan pasca banjir telah mula dilaksana di semua daerah terjejas membabitkan 11,296 petugas membabitkan kakitangan kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan komuniti seluruh negara.

Kesemua petugas ditempatkan di 487 lokasi pembersihan, paling ramai petugas di Batu Pahat iaitu 5,269 di 149 lokasi, Segamat (2,647:164), Kota Tinggi (815:19), Mersing (676:59), Kluang (642:35), Muar (616:43), Tangkak (285:13), Johor Bahru (280:2) dan Pontian (66:3).

Related posts

Leave a Comment