Projek luas Masjidilharam cecah RM250 bilion

MAKKAH: Projek perluasan Masjidilharam masih diteruskan dengan kos setakat ini melebihi 200 bilion riyal (RM250 bilion).

Menurut Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq bin Fawzan Al Rabiah pada sidang media di Kaherah, Mesir,  projek perluasan dan pembinaan yang dianggap terbesar dalam sejarah itu tetap akan diteruskan demi keselesaan jemaah haji dan umrah.

Petikan kenyataan beliau dalam bentuk infografik disiarkan menerusi akaun rasmi MOHU di Twitter Selasa lalu.

Projek perluasan terbaru itu membabitkan penambahan kapasiti Mataf (dataran Tawaf) sebanyak 30,000 lagi jemaah, pemasangan 78 pintu pagar automatik, penambahbaikan sistem bunyi, pembangunan sistem kamera pengawasan dan sistem amaran kebakaran.

Menurut Saudi Press Agency (SPA), fasa ketiga projek perluasan masjid agung berkenaan disambung semula pada Mei 2020 selepas beberapa bulan dihentikan ekoran wabak Covid-19.

Al Rabiah yang berada di Mesir minggu lalu berkata, Arab Saudi komited memberi khidmat terbaik kepada jemaah berdasarkan Wawasan 2030 yang menerima pakai pembangunan perkhidmatan untuk jemaah selain menaik taraf semua kemudahan dan prasarana.

Beliau juga berkata, pembangunan projek Kereta Api Ekspres Haramain Makkah-Madinah memudahkan pergerakan pengunjung dari dalam dan luar Arab Saudi untuk sampai ke Makkah yang turut menyaksikan perkembangan ketara daripada segi infrastruktur dan organisasi.

Beliau turut menyebut pelancaran platform digital terbaharu “NUSUK”, bagi memudahkan prosedur ketibaan jemaah umrah dari seluruh dunia ke Makkah dan Madinah.

“Pakej umrah (menerusi NUSUK) boleh ditempah dan visa dikeluarkan dalam masa kurang daripada 24 jam,” katanya

 

(Foto Haramain Sharifain)

Related posts

Leave a Comment