MELAKA 12 Nov. – – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kekal dengan keputusan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan tetapi menegaskan beliau bersama Ahli Parlimen DAP lain kekal menyokong Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Seremban itu mengeaskan pendirian beliau ketika berucap di Grand Finale Pakatan Harapan (PH) di pentas sama Perdana Menteri menyatakan mahu berunding semula dengannya dalam isu peletakan jawatan berkenaan.
Loke berkata, 40 Ahli Parlimen DAP termasuk dirinya kekal teguh menyokong kepemimpinan Anwar, sekali gus menolak sebarang tanggapan bahawa peletakan jawatannya mencerminkan keretakan dalam kerajaan.
“Saya letak jawatan sebagai menteri, tetapi saya bukan menarik sokongan kepada Datuk Seri Anwar. Saya dan DAP kekal menyokong Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.
“40 Ahli Parlimen tetap kukuh, tetap tegas memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar. Saya letak jawatan untuk menyatakan pendirian kita,” katanya.
Loke meletakkan jawatan serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah, Selasa lalu.
Pada masa sama, Loke berkata beliau sudah menyatakan lebih awal pendiriannya untuk meletakkan jawatan sekiranya Najib dibenarkan menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah, malah menegaskan keputusan itu akan dilaksanakan serta-merta apabila keadaan berkenaan berlaku.
“Perkara ini sudah saya umumkan hampir tujuh minggu sebelum ini. Saya kata, Najib balik rumah, saya satu minit pun takkan tunggu, terus berkuat kuasa. Saya cakap saya akan buat, saya akan buat. Ini soal kita cakap serupa bikin,” katanya.
Loke berkata, pihaknya turut menolak dakwaan tindakan peletakan jawatan itu tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya menegaskan pendirian DAP berkenaan khusus terhadap isu Najib dan bukan membabitkan institusi Diraja.
“Saya hendak tegaskan ini bukan soal tidak hormat kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita hormat kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong. Tetapi ini adalah pendirian terhadap Najib, bukannya berkenaan dengan Agong, tetapi berkenaan dengan Najib,” katanya.
Mengenai reaksi pemimpin UMNO terhadap keputusannya, beliau berkata kenyataan dikeluarkan mereka dilihat bercanggah antara satu sama lain.
“Apabila saya letak jawatan ini, pendirian pemimpin UMNO Barisan Nasional (BN) bercelaru.
“Presiden cakap, ‘Saya rindu Anthony Loke ini, dia duduk sebelah saya. Saya ada prinsip pula. Tetapi timbalan presiden pula kata tindakan ini macam mencabar dan tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Nnnn
