Rais keluar Bersatu sertai PKR

PETALING JAYA 13 Okt. –  Bekas pengasas bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  Rais Hussin Mohamed Ariff dan bekas Naib Ketua UMNO Bera Mohamed Jidi Yaakob hari ini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden parti, Anwar Ibrahim berkata, penyertaan kedua-dua ahli politik berkenaan, tidak berlandaskan kepada sebarang syarat, termasuk kemungkinan mereka akan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Beliau berkata, dengan latar belakang Rais sebagai seorang ‘intelektual’, dan Mohamed Jidi sebagai akar umbi, membuktikan PKR adalah parti yang berorientasikan kepelbagaian dan kesejahteraan untuk semua lapisan masyarakat.

“Kita ada seorang pemimpin yang intelektual, dan kita ada pimpinan akar umbi peneroka. Ini membuktikan kita adalah gerakan rakyat, yang bersama mengharungi cabaran dalam masa getir.

“Yang baiknya (penyertaan Rais) langsung tidak sentuh (mengenai kemungkinan calon). Dia sertai juga nak sertai dah lama. Saya kata tak apa, tidak ada perbincangan mengenai kerusi. (Tentang Mohamed Jidi di Parlimen Bera), kita akan timbang dengan adil,” katanya lagi.

Rais, yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bertindak keluar Bersatu pada 6 Oktober lepas, sebelum membuat pengumuman mengenai perkara itu pada hari berikutnya.

Dalam suratnya, Rais berkata, beliau tidak lagi aktif sebagai ahli Bersatu sejak 2020, dan lebih menumpukan kepada badan pemikir bebas yang diasaskannya iaitu EMIR Research.

Sementara itu, Mohamed Jidi, yang lebih dikenali sebagai Mat Jidi, pernah memegang jawatan sebagai Naib Ketua UMNO Bera dan pada 2018 bertanding di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat, sewaktu menjadi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kemayan.

Dalam sidang media yang sama, Rais berkata, beliau akan menyumbangkan tenaga dan buah fikiran kepada PKR, khususnya dalam agenda menangani permasalahan ekonomi yang sedang melanda negara.

“Pada pendapat saya, kita perlu fokus kepada ekonomi rakyat, iaitu kos kehidupan seharian yang pada saya sangat penting. Kemudian tentang akses kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan serta perumahan,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment