Tiada kerjasama dengan ‘pengkhianat’

SEPANG 13 Okt. – Kecoh seketika apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan ‘terbuka’ untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak atau gabungan, asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan hanya untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Lebih menggemparkan apabila Presiden Pakatah Harapan (PH) pada sidang media petang ini, mengaitkan kerjasama dengan gabungan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (GTA) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN).

Keadaan itu menyebabkan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, dalam kenyataan beberapa jam selepas sidang media terbabit menjelaskan bahawa parti itu tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan GTA dan PN.

Anwar pula dalam perkongsian Facebooknya berkata “Kenyataan saya berkenaan kerjasama dengan mana-mana parti dalam mendepani UMNO-BN telah disalah lapor. Ini kenyataan penuh saya.:” yang disertakan petikan video kenyataan itu.

Turut tersentak dengan laporan itu adalah Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang turut menghubungi Anwar dan mengeluarkan kenyataan bahawa kerjasama itu hanya boleh dipertimbangkan jika Majlis Presiden PH membatalkan keputusan sebelum ini.

“Majlis Presiden PH sebelum ini telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan sama ada PN atau Muhyiddin kerana peranannya sebagai “pengkhianat” utama dalam Langkah Sheraton yang mengkhianati mandat rakyat dan membentuk kerajaan pintu belakang dengan UMNO, MCA, MIC dan MIC.

“Kita tidak boleh bekerjasama dengan orang yang tidak boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya bagi menjawab soalan wartawan berhubung ‘kerjasama’ itu.

Guan Eng berkata kerjasama dengan Muhyiddin atau PN hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden PH membatalkan keputusannya sebelum ini tetapi tegasnya “ Saya akan menentang sebarang pembalikan keputusan sebelum ini,”

Mengenai Dr Mahathir , pemimpin DAP itu berkata, PH sedia bekerjasama dengan parti pembangkang lain, namun dengan syarat mereka menerima peranan kepemimpinan PH dan Anwar P sebagai calon Perdana Menteri.

“Ini sudah diterima tanpa syarat oleh Muda dan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Bagaimanapun Majlis Presiden PH tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan hati oleh Tun Dr Mahathir,” kata Guan Eng.

Beliau juga memberitahu, Anwar sudah membalas panggilan telefonnya dengan mengesahkan prinsip ini dan menjelaskan bahawa kenyataan beliau dipetik dengan tidak tepat.

Related posts

Leave a Comment