BUKIT MERTAJAM 26 Okt. – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, sedia menarik diri daripada mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka 14 November ini, jika kes mahkamah dihadapinya di sini menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, pendirian itu dinyatakan secara terbuka kepada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan mengutamakan peluang BN berkhidmat kepada rakyat berbanding cita-cita peribadi.
“Jika kes ini menjadi sesuatu yang boleh mencemarkan nama parti, saya sudah berterus terang kepada Presiden UMNO bahawa saya sanggup tidak bertanding jika dianggap beban kepada peluang parti untuk menang,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Dr Akmal, 38, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuat kenyataan di Facebook yang didakwa menyebabkan ketakutan awam.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan representasi Dr Akmal bagi menggugurkan kes berkenaan ditolak pihak pendakwaan.
Dr Akmal berkata, UMNO memberi kepercayaan kepada beliau mempertahankan kerusi DUN Merlimau, namun menegaskan keputusan muktamad hanya akan diketahui ketika proses penamaan calon.
“Parti memberikan kepercayaan kepada saya untuk mempertahankan N27 (DUN Merlimau). Bagaimanapun, selagi hari penamaan calon belum tiba, apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya.
Dr Akmal juga bersedia memberi laluan kepada calon lain sekiranya parti berpendapat individu berkenaan lebih sesuai bertanding.
“Jika ada individu lain yang lebih baik dan mampu memberikan kemenangan kepada parti, saya sanggup tidak bertanding,” katanya.
Mengulas sama ada prosiding mahkamah menjejaskan persiapannya menghadapi PRN, Dr Akmal berkata, perkara itu tidak banyak mengganggu tumpuannya meskipun kes berkenaan belum menemui penyelesaian.
Katanya, beliau sudah mempersiapkan mental sejak setahun lalu dan menghormati keputusan mahkamah, selain menjalani proses perundangan dengan penuh disiplin.
“Bagi saya, pilihan raya ini bukan mengenai Akmal Saleh tetapi bagaimana kita memperoleh kemenangan dan bagaimana kita berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
NNNN
