DUN Selangor bubar tahun depan

SHAH ALAM 11 Okt. – Selangor mengesahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan serentak dengan pembubaran Parlimen semalam.

Dengan keputusan itu, pengundi di Selangor hanya akan memilih calon-calon untuk kerusi Parlimen sahaja.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan pada pukul 10.05 minit pagi dan pertemuan itu berlangsung sekitar dua jam sebelum beliau meninggalkan istana.

Pada pertemuan itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan kerajaan negeri menyegerakan projek berkepentingan rakyat seperti tebatan banjir dan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam sebelum pembubaran DUN.

“Menerusi perbincangan pada pertemuan lazim bersama Tuanku hari ini, kami bincang banyak perkara terutamanya mengenai pembangunan dan pengurusan ekonomi negeri.

“Tuanku menasihatkan kita untuk menyegerakan (projek kepentingan rakyat), selesaikan apa yang patut sebelum pembubaran (DUN) dan kita akan kekal pada rancangan untuk membubarkan pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pintu utama Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Beliau berkata, perbincangan bersama Sultan Selangor (mengenai keputusan pembubaran DUN) sudah lama dilakukan dan beliau juga sudah memberi gambaran bila ia akan dilaksanakan.

“Tuanku meminta supaya kita berbincang dengan pihak berkaitan supaya ia menjadi pilihan raya (Pilihan Raya Negeri) yang cekap kerana ia tidak dilaksanakan bersekali dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri kini memberi tumpuan pada persiapan bajet yang dijadualkan dibentang pada 28 Oktober ini.

Bagaimanapun pihaknya mungkin melakukan perbincangan semula selepas tarikh pilihan raya diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana, jika bajet dibentangkan ketika PRU, pegawai kerajaan negeri akan banyak bertugas sebagai pegawai pengurus dan petugas-petugas pilihan raya.

“Kemungkinan kita akan tangguh (pembentangan bajet) sehingga habis PRU. Kita akan tengok dari sudut undang-undang dan sebagainya sebab tarikh pembentangan sudah ditetapkan pada 28 Oktober,,” katanya.

Related posts

Leave a Comment