DUN Perlis putuskan selepas Khamis

PADANG BESAR 11 Okt. – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dijangka dilakukan selepas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti, pada Khamis ini, kata Menteri Besar,  Azlan Man.

Beliau berkata pembentangan berkenaan diadakan terlebih dahulu pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Kelima DUN Perlis yang ke-14.

“Saya akan mempersembah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, tarikh yang bersesuaian untuk pembubaran DUN supaya kita dapat mengadakan pilihan raya negeri bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dokumen Tanah Hak Milik Kerajaan di Negeri Perlis di FELDA Chuping, di sini hari ini.

Azlan berkata, sembah maklum pembubaran kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akan dibuat dalam masa terdekat, iaitu selepas pembentangan RUU berkenaan.

“Walaupun DUN Perlis sudah terbubar nanti, pewartaan atau pengazetan RUU antilompat parti itu boleh dilaksanakan selepas Tuanku Raja Perlis memperkenan RUU berkenaan.

“Kita harapkan Undang-Undang Tubuh Negeri yang kita buat pindaan ini akan terpakai kepada wakil rakyat yang akan terpilih dalam pilihan raya negeri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment