GTA sedia bekerjasama dengan ‘parti sebulu’

PUTRAJAYA 11 Okt. – Gerakan Tanah Air (GTA) mempertimbangkan untuk mengadakan kerjasama politik dengan parti-parti lain yang dikira ‘sebulu’ dengan gerakan itu iaitu menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak menamakan parti itu menyatakan kesanggupan untuk mengadakan kerjasama jika parti berkenaan ingin menyelamatkan negara ini daripada pemerintahan UMNO.

“Kita dapati UMNO adalah parti yang tidak sama sekali mengambil berat tentang masalah rakyat. Yang mereka nak hanya menjadi Perdana Menteri dan kerajaan.

Itu saja tujuan mereka. Cakap sepanjang masa bukan berkenaan masalah yang dihadapi oleh rakyat, tetapi untuk mereka menang PRU,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Dr Mahathir juga menjelaskan, kenyataan beliau sebelum ini bahawa UMNO akan menang PRU telah disalah faham, sebaliknya, parti lawannya itu hanya akan menang jika mereka menggunakan taktik sogokan untuk meraih sokongan pengundi.

“Dalam perkara ini mereka sebut saya sebagai berkata UMNO akan menang. Saya tidak kata UMNO akan menang. Saya berkata UMNO akan menang dengan menggunakan wang, iaitu sogokan, bribery yang biasa diguna oleh UMNO.

“Dan ini adalah satu kenyataan yang dibuat untuk peringati rakyat supaya jangan terima sogokan. Kerana sogokan akan datang dari orang tidak baik. Orang baik tak perlu sogokan,” katanya lagi.

Dr Mahathir bekata, GTA tidak perlu kepada sogokan, sebaliknya kalau terpilih, mereka akan mendirikan kerajaan yang akan memberi pandangan kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Ditanya sama ada GTA juga akan bekerjasama dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menjelaskan gerakan itu terbuka untuk mengadakan kerjasama politik dengan pihak-pihak tertentu bagi menghadapi PRU.

Dr Mahathir secara peribadi berpendapat, soalan (kerjasama) itu perlu diajukan kepada Pengerusi PH itu.

Bekas Perdana Menteri  itu berkata, beliau tiada masalah mengenai kemungkinan kerjasama itu selagi mana mereka berpegang kepada prinsip yang sama, iaitu melawan UMNO dan BN.

Soalan itu patutnya ditanya kepada dia (Anwar). Tanya dia jika dia mahu kerjasama dengan saya, tetapi (saya tahu) dia tak mahu kerjasama dengan saya. I’m a very nice man (saya ini orang yang baik),” kata Dr Mahathir secara berseloroh.

Beliau juga terbuka untuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), biarpun parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bertindak menyebabkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

“Kita akan timbangkan (kerjasama dengan Bersatu). We have to think who is the bigger traitor,” katanya ringkas.

Related posts

Leave a Comment