Tidak digalak lakukan perjalanan

WASHINGTON 3 April – Penerima vaksin penuh di Amerika Syarikat (AS) dibenarkan melakukan perjalanan selamat dengan risiko rendah tetapi tidak digalakkan berbuat demikian atas faktor kes koronavirus yang masih tinggi.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS Rochelle Walensky berkata, walaupun ada garis panduan untuk individu yang diberi vaksin, namun ketika ini bukan masa sesuai untuk melakukan perjalanan.

Jelasnya, CDC menyokong perjalanan umum secara keseluruhan, namun disebabkan jumlah kes yang tinggi, CDC tidak mengesyorkannya terutama bagi individu belum menerima vaksin.

CDC sehingga kini mengekalkan garis panduan perjalanannya walaupun ketika program vaksinasi semakin meluas.

Panduan baharu ini merupakan usaha menjadikan perjalanan jauh lebih selamat.

Ia juga bertujuan menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan bagi membasmi kes baharu Covid-19.

Ujian saringan dan kuarantin wajib juga tidak diperlukan sebelum atau selepas perjalanan selagi mana mengambil langkah berjaga-jaga memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Bagi perjalanan antarabangsa pula, penerima vaksin tidak perlu mengambil ujian saringan melainkan ia diwajibkan oleh destinasi antarabangsa yang ingin dituju.

Penerima vaksin yang tiba dari luar negara tidak perlu menjalani kuarantin wajib selepas tiba di AS kecuali jika diminta oleh pihak berkuasa negeri atau tempatan.

CDC telah berulang kali menolak desakan mengubah garis panduan dan mengulangi masih tidak menggalakkan semua perjalanan yang tidak penting kerana kebimbangan mengenai varian baharu.

Related posts

Leave a Comment