Hanya tiga negeri sedia bubar DUN

PUTRAJAYA 10 Okt. – Hanya tiga negeri iaitu Pahang, Perlis dan Perak bersedia untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk membolehkan pilihan raya diadakan serentak dengan peringkat Parlimen.

Ini berikutan, semua negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan DUN bersekali dengan Parlimen.

Baki empat lagi negeri iaitu Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak sudah pun mengadakan pilihan raya negeri (PRN) masing-masing sebelum ini.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man, mengesahkan akan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, selepas diperkenankan baginda untuk memaklumkan mengenai pembubaran DUN.

“Pembubaran DUN Perlis hanya akan diperkenankan baginda. Untuk itu, baginda juga perlu memperkenankan saya terlebih dahulu untuk menghadap sebelum sebarang pengumuman pembubaran DUN Perlis dapat dibuat,” katanya.

Perdana Menteri ketika mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini, mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya membubarkan DUN masing-masing supaya dapat menyertai PRU peringkat Parlimen.

Beliau berkata, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

Related posts

Leave a Comment