Kecewa politik semasa, Agong tiada pilihan

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa, dan tiada pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula pukul 12 tengah hari semalam, Perdana Menteri telah mengemukakan permintaan untuk urusan tersebut.

Katanya, setelah memperhalusi permintaan tersebut, Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa hari ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil,” katanya.

Berikutan keputusan itu Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November 2022.

Related posts

Leave a Comment