Terima kasih ‘Keluarga Malaysia’

PUTRAJAYA 10 Okt. – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia yang menyokong dan mendukung kepemimpinannya selama ini dalam melunaskan amanah serta tanggungjawab sebagai Ketua Kerajaan.

Beliau berkata, ia adalah amanah dan tanggungjawab yang besar yang dipikul ketika negara diselubungi tri-lema; iaitu pandemik Covid-19 yang sedang mengganas, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia, ditambah pula dengan kelesuan ekonomi dan politik yang bergelora.

“Mengambil ibrah firman Allah S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 54; yang bermaksud; “Dan mereka merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang.”

“Tanggal 21 Ogos 2021, saya ditakdirkan Ilahi menerajui pentadbiran negara.   

Betapa besar amanah dan tanggungjawab yang dipikul, besar jugalah usaha dan ikhtiar yang digalas.,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan ini bertanggungjawab dan sentiasa membuat perancangan yang teliti dalam semua perihal dengan meletakkan kepentingan Keluarga Malaysia di atas segala-galanya.

“Meskipun acapkali diasak pelbagai cabaran, tohmahan serta fitnah, namun Alhamdulillah dengan kehendak yang Maha Berkuasa, Kerajaan andal menghadapi mehnah dan tribulasi, dalam perjuangan membawa negara ke landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi – demi memulihkan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia dan kemakmuran negara,” katanya.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan seluruh Keluarga Malaysia, yang sentiasa memberikan sokongan ampuh dalam membantu kerajaan membendung penularan Covid-19.

“Di atas kejayaan tersebut, Malaysia telah melangkah memasuki fasa peralihan ke endemik pada tanggal 1 April 2022, yang membolehkan pembukaan semula sempadan negara selepas lebih dua tahun ditutup.   

“Justeru, kita sepatutnya sama-sama berkongsi rasa bahagia dan bangga apabila negara berjaya keluar dari pandemik, bahkan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang terbaik di Asia Tenggara, dalam mendepani cabaran Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment