Ahli MPT Bersatu keluar parti

PETALING JAYA 7 Okt. – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang juga antara pengasas parti mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu itu menghantar surat rasmi peletakan jawatannya kepada semalam.

Menurut Rais Hussin, beliau tidak lagi aktif dalam parti itu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak memberi perhatian kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

“Walaupun bukan lagi ahli Bersatu, saya akan meneruskan perjuangan untuk negara yang lebih baik dalam membantu lebih ramai rakyat berdasarkan lima prinsip teras iaitu reformasi, keadilan, keterangkuman, progresif dan wasatiyyah (pendekatan seimbang secara adil),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, banyak kenangan dengan parti itu daripada peringkat awal sebelum penubuhannya sehingga berhadapan cabaran besar pada masa kini.

“Cabaran pada masa itu sangat besar, tetapi kami bersama membuat perkara mustahil untuk menghadapi semua rintangan,” katanya.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu turut berterima kasih kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang sentiasa memahaminya dengan lebih baik berbanding ahli lain serta merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi, Dr Mahathir Mohamad.

Related posts

Leave a Comment