60 peratus calon BN Johor muka baharu

PONTIAN 7 Okt. – Sebanyak 60 peratus calon Barisan Nasional (BN) Johor yang akan bertanding di 26 kerusi Parlimen negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah muka baharu, kata Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad.

Beliau berkata pihaknya sedang giat melakukan proses penyenaraian calon sebelum ia dimuktamadkan pada hujung minggu ini.

“BN Johor kini dalam proses akhir mengenal pasti calon untuk dipertandingkan di 26 kerusi Parlimen negeri ini pada PRU15. UMNO dijangka bertanding 17 kerusi, MCA lapan, manakala MIC pula satu kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Pontian, di Rumah UMNO Pontian, di sini, hari ini.

Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan meminta semua UMNO negeri mengemukakan nama calon untuk bertanding pada PRU15, mulai Isnin depan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dipetik berkata, nama-nama itu akan diteliti oleh kepemimpinan tertinggi parti atau ‘Top 5’ sebelum dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, mengumumkan beliau dilantik sebagai Pengarah PRU15 BN Johor manakala Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi  sebagai Pengarah Operasi PRU15 BN Johor..

Pelantikan itu dibuat Ahmad Zahid dalam pertemuan tertutup bersama 40 ADUN BN Johor di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada Rabu lalu.

Related posts

Leave a Comment