Anak rayu selamatkan ibunya

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Anak lelaki sulung wanita warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, pagi semalam merayu pihak berkuasa menyelamatkan ibunya.

Sebaik tiba dari Thailand, lelaki berusia 26 tahun dikenali sebagai Surya itu terus ke lokasi kejadian pada kira-kira pukul 9.30 malam untuk melihat sendiri usaha mencari ibunya.

Dia dilihat gagal menahan kesedihan dan terpaksa ditenangkan oleh beberapa ahli keluarga serta kenalannya yang berada di situ.

Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dr Maimunah Mohd Shariff yang melawat lokasi kejadian sempat berbual bersama suami mangsa dengan bantuan jurubahasa.

Pada sidang media malam tadi, Maimunah memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedia membantu sebarang keperluan keluarga itu semasa mereka berada di negara ini sepanjang operasi pencarian dilakukan.

Mangsa, yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Andhra, Kuppam dan keluarganya dijadualkan pulang ke India hari ini selepas dua bulan melancong di negara ini.

Dalam insiden 8.20 pagi itu, mangsa sedang berjalan di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India sebelum tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter.

Sementara itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita terpaksa ditangguhkan kira-kira pukul 1 pagi ini susulan hujan lebat serta kawasan pencarian yang gelap menyukarkan usaha mengesan mangsa dilakukan pasukan penyelamat.

Ketua Polis Kuala Lumpur,  Rusdi Mohd Isa, berkata operasi SAR oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijadualkan bersambung semula pukul 9 pagi ini.

Katanya, pencarian di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh juga telah dilakukan secara 100 peratus.

“Semua anggota pasukan penyelamat telah mengambil masa yang panjang dalam operasi SAR yang bermula sejak pagi semalam (Jumaat), dan setakat ini mangsa masih gagal dikesan.

“Namun dalam operasi hari ini (semalam)  kita telah menemui sepasang selipar dipercayai milik mangsa yang terapung selepas kawasan kejadian dikorek oleh jengkaut sejak pagi tadi (semalam),” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment