4,008 warga Myanmar daftar DPP

KUALA LUMPUR 24 Jun – Seramai 4,010 pelarian dan pencari suaka melibatkan 4,008 warga Myanmar, masing-masing seorang warga Sudan dan Syria, didaftarkan di bawah Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sejak pelaksanaannya bermula pada 1 Januari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Fasa 1 program berkenaan membabitkan tahanan warga Myanmar khususnya etnik Rohingya yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen di Semenanjung.

Mereka  merangkumi 2,746 tahanan lelaki dewasa, 632 tahanan perempuan dewasa, 392 kanak-kanak lelaki dan 240 kanak-kanak perempuan.

“Tahanan dewasa akan dipindahkan secara berfasa ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS), Bidor, Perak yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang tahanan pada satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP).

Sehingga 31 Mei 2026, jumlah tahanan yang sudah dipindahkan ke PPKPPS Bidor ialah 101 orang.

Daripada jumlah ini, seramai 78 individu diperakukan sebagai pelarian Program DPP. Proses pembebasan mereka akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen mengikut proses perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (PN-Selayang).

Saifuddin berkata, Fasa 2 Program DPP membabitkan pendaftaran individu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan yang mengaku sebagai pelarian yang berada di luar DTI dirancang bermula pada separuh kedua 2026.

“Proses akan dilaksanakan di pusat-pusat penentuan status pelarian yang akan diumumkan kelak. KDN menyasarkan proses pendaftaran ke atas golongan ini diselesaikan sepenuhnya pada 31 Disember 2029,” katanya.

Baru-baru ini Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata, kira-kira 215,000 etnik Rohingya berdaftar dengan UNHCR manakala pihak berkuasa tempatan turut mempunyai rekod mereka dengan kerjasama Jabatan Imigresen bagi memudahkan pemantauan.

Katanya, kira-kira 7,000 hingga 8,000 etnik Rohingya dihantar ke negara ketiga setiap tahun sebelum ini menerusi kerjasama antara kerajaan, tetapi proses itu kini terhenti susulan pelbagai kekangan yang dihadapi negara-negara terlibat.

Beliau berkata isu etnik Rohingya merupakan isu antarabangsa yang berpunca daripada situasi politik dan keselamatan di Myanmar, menyebabkan Malaysia menerima kehadiran mereka atas pertimbangan kemanusiaan.

“Malaysia mempunyai kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) dengan beberapa negara yang membolehkan pelarian Rohingya ditempatkan sementara sebelum dihantar ke negara ketiga yang memerlukan tenaga kerja atau khidmat profesional mereka.

“Kebelakangan ini, proses penempatan etnik Rohingya ke negara ketiga berdepan beberapa kekangan hingga menyebabkan pergerakan mereka ke negara berkenaan dilihat terhenti, sekali gus menimbulkan pelbagai isu yang memerlukan perhatian semua pihak,” katanya.

Jnnnn

Related posts

Leave a Comment