SEPANG 24 Jun – Putra yang bercadang bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor membatalkan hasrat itu selepas Perikatan Nasional (PN) tidak memberi sebarang maklum balas mengenai kerjasama pilihan raya yang dicadangkan.
Setiausaha Agung Putra Nasrul Ali Hasan Abdul Latif dalam satu kenyataan berkata, Mesyuarat Biro Politik Putra yang bersidang hari ini mengambil keputusan tersebut serta menyatakan dukacita di atas layanan PN.
Katanya, Putra telah menghubungi Pengerusi PN, seterusnya mengutus surat menyatakan persetujuan cadangan mengadakan ‘electoral pact’ atau kerjasama pilihan raya bersama PN termasuk cadangan untuk bertanding di tiga DUN.
Bagaimanapun sehingga 24 Jun 2026, PN tidak memberi sebarang maklum balas terhadap hasrat Putra untuk bekerjasama dengan PN bagi mengelakkan pertembungan kerusi dan perpecahan undi dalam kalangan parti pembangkang.
“Putra juga menghargai tawaran mengadakan kerjasama politik daripada Bersatu tetapi tidak dapat terima cadangan tersebut kerana kesuntukan masa dan kerusi yang Putra kenal pasti berkemungkinan bertindih dengan pilihan Bersatu,” katanya.
Katanya, Putra akan meneliti secara menyeluruh keputusan dan pola pengundian PRN Johor sebagai sebahagian daripada proses penilaian strategik parti.
Analisis tersebut akan dijadikan asas pertimbangan bagi menentukan pendekatan apakah Putra akan bertanding di empat DUN Negeri Sembilan yang telah dikenal pasti melalui electoral pact dengan mana-mana pihak bagi mengelakkan perpecahan undi dari kalangan parti-parti Melayu.
Pada masa yang sama, katanya, fokus utama Putra adalah membuat persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-16 tidak lama lagi.
“Putra kekal komited untuk memperjuangkan agenda rakyat, mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara serta memperkukuhkan kedudukan parti sebagai kuasa politik alternatif yang konstruktif dalam landskap politik Malaysia,” katanya.
Nnnn
