Brunei – Thailand tingkat kerjasama

BANGKOK 29;April –  Thailand dan Brunei menegaskan semula komitmen mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dan meningkatkan kerjasama ekonomi sempena ulang tahun ke-40 dalam hubungan diplomatik pada tahun ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah melahirkan rasa puas hati dengan hubungan baik yang telah lama terjalin

Kedua-dua negara akan terus mengukuhkan kerjasama dalam bidang yang saling menguntungkan seperti kerjasama politik, ekonomi, pertukaran rakyat dengan rakyat, perubahan iklim dan pembangunan serantau.

“Kedua-dua negara mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, industri halal, pelancongan, ekonomi digital dan pertukaran rakyat dengan rakyat melalui mekanisme dua hala sedia ada, termasuk Suruhanjaya Kerjasama Dua Hala (JCBC), sesi kedua yang akan dihoskan Brunei tahun ini,” kata kedua-dua pemimpin hari ini.

Kedua-dua pemimpin juga melahirkan rasa puas hati dengan hasil lawatan itu dan menggesa agensi berkaitan untuk menggunakan sepenuhnya mekanisme dua hala sedia ada bagi memastikan pelaksanaan yang konkrit.

Sultan Hassanal yang diiringi Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah tiba di sini pada Ahad, 28 April dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand atas jemputan Srettha.

Srettha dan Sultan Brunei juga bersetuju untuk menggalakkan hubungan perdagangan dua hala yang lebih erat dengan mewujudkan mekanisme di peringkat dasar untuk menentukan pelan tindakan konkrit bagi menggalakkan kerjasama perdagangan dan ekonomi dua hala serta menugaskan agensi berkaitan untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

Kedua-dua pemimpin mengulangi kepentingan kerjasama Industri Halal melalui penyelarasan rapat antara Pusat Industri Halal Thailand di bawah Kementerian Industri Thailand dan agensi berkaitan Brunei, seperti Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta Kementerian Hal Ehwal Ugama.

“Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk meneroka Memorandum Persefahaman mengenai Industri Halal dan Pembangunan serta Promosi Eksport Halal bagi mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang ini,” menurut kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dana Pencen Kerajaan Thailand (GPF) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) dan MoU kedua ialah Kerjasama Pelancongan antara Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei.

Related posts

Leave a Comment