Banjir: Agong prihatan kesejahteraan rakyat

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) pagi ini tidak membincangkan mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut sama dalam lawatan itu berkata, baginda cakna terhadap kesejahteraan rakyat,

“Baginda hanya minta pandangan isu ini secara biasa bukan (sebab) PRU namun sebab kita memang berdepan Monsun Timur Laut, tiada perbincangan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sesi sembah taklimat di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) kepada Yang di-Pertuan Agong itu bagi menyentuh soal persiapan pelaksanaan PRU15.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke PRABN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di Ampang, dekat sini bagi meninjau sendiri persiapan dan kesiapsiagaan bagi negara berdepan musim banjir di seluruh negara.

Hadir sama ialah Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Lawatan rasmi Yang di-Pertuan Agong itu dikatakan mempunyai kaitan dengan pelaksanaan PRU15 dalam musim banjir.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menekankan berhubung penempatan kakitangan kesihatan yang mencukupi di setiap pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang musim banjir.

Pihaknya turut mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perancangan sekiranya fasiliti kesihatan awam dilanda banjir.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, baginda menitahkan supaya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal banjir serta pelarasan agihan bantuan bencana itu kepada mangsa.

Katanya, baginda turut menzahirkan rasa puas hati terhadap persiapan dilakukan PRABN bagi berdepan kemungkinan banjir ekoran Monsun Timur Laut 2022/2023.

“Beberapa perkara untuk diberi perhatian soal antara bila berlaku bencana amaran lebih awal dan kita juga maklumkan kepada baginda bahawa kali ini kita menambahkan jumlah fasiliti siren dan kemudahan yang ada di kawasan ‘hotspot’,” katanya.

Baginda juga meminta penyelarasan dari segi bantuan di bawah agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan semua pihak supaya apabila berlaku banjir dapat mengurangkan impak dan bantuan dapat diserahkan dengan sama rata kepada seluruh mangsa.

Beliau berkata, KASA turut mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai data dan taburan hujan di seluruh negara yang dijangka berlaku Oktober hingga Mac depan.

Related posts

Leave a Comment