MPP PKR terima keputusan rasmi pemilihan

PETALING JAYA 7 Julai – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menerima keputusan rasmi Pemilihan 2022 yang diumum Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Isnin lalu, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas malam tadi yang membincangkan beberapa perkara berhubung Pemilihan 2022 dan Kongres Nasional ke-16.

Katanya, berhubung Pemilihan 2022, MPP meneliti laporan JPP, pembekal perkhidmatan yang membangunkan aplikasi ADIL serta firma audit forensik yang dilantik JPP.

MPP turut diberi taklimat penuh oleh firma audit forensik berhubung dapatan audit lengkap bagi Pemilihan 2022.

Pada masa yang sama, MPP mengambil maklum sebahagian daripada 1,800 aduan yang diterima masih dalam penelitian JPP.

“MPP menerima jaminan bahawa JPP akan menyelesaikan aduan dan memberikan maklum balas bertulis kepada semua yang mengemukakan aduan dan menerima penjelasan bahawa bagi kategori aduan yang terkait isu disiplin, hal itu akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fahmi berkata, mesyuarat MPP juga mengambil maklum bahawa sistem ADIL yang dibangunkan adalah suatu sistem dengan integriti yang utuh.

Namun, katanya firma audit forensik memperakui wujud beberapa kelemahan pada peringkat pelaksanaan sistem itu.

Katanya, MPP menerima penjelasan penuh firma audit forensik bahawa langkah-langkah bersesuaian untuk memperbaiki kelemahan itu sudah diambil.

Mengenai Kongres PKR ke-16, MPP bersetuju Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 24 Jun serta Kongres Nasional pada 25 dan 26 Jun diubah untuk memberi ruang serta masa yang secukupnya kepada JPP dan firma audit forensik untuk menyelesaikan aduan yang diterima.

“MPP maklum pelanjutan tarikh itu tidak sama sekali bertujuan melengahkan pengumuman keputusan Pemilihan.

“Maka MPP memutuskan bahawa Kongres Wanita dan AMK akan diteruskan pada 15 Julai dan Kongres Nasional pada 16 dan 17 Julai di IDEAL Convention Centre (IDCC), Shah Alam dan kesemua perwakilan termasuk dari Sabah dan Sarawak akan hadir secara fizikal,” katanya.

Related posts

Leave a Comment