Peluang jadi calon PRU wakili PKR

PETALING JAYA 6 Okt. – Jika anda berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PKR membuka peluang itu dengan mengemukakan permohonan bermula hari ini sehingga tarikh akhir Khamis depan.

Permohonan terbuka kepada ahli, pemimpin dan mana-mana individu yang layak untuk mencalonkan diri sebagai calon.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, langkah itu diambil selepas parti berpandangan proses pencalonan sedia ada perlu dirombak dan ditambah baik, bagi memastikan hanya calon memenuhi kriteria dan layak boleh diketengahkan.

Beliau berkata, permohonan secara dalam talian itu dijangka menarik minat kira-kira 10,000 individu termasuk ahli dan pemimpin yang sedia menamakan diri.

“Tarikh tutup pencalonan adalah seminggu dari sekarang iaitu Khamis minggu depan tertakluk kepada sama ada pembubaran (Parlimen) dibuat esok atau Selasa minggu depan. Kalau esok atau minggu depan, kalau perlu tutup lebih awal, kita akan tutup.

Tempoh satu minggu dari sekarang sehinggalah 13 Oktober depan, kami merasakan itu mencukupi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Mereka yang mengisi pencalonan akan tertakluk kepada syarat tertentu seperti disiarkan di laman web rasmi pencalonan dan mereka akan melalui proses saringan oleh jawatankuasa pencalonan.

“Satu sistem pemarkahan akan diguna pakai oleh jawatankuasa calon untuk membuat ranking kedudukan calon. Ini kerana hanya calon ketiga hingga kelima teratas akan dibincangkan jawatankuasa calon untuk diangkat kepada presiden dan saya sebagai pengarah pilihan raya parti.

“Antara faktor dinilai ialah pengalaman dalam parti, sumbangan kepada masyarakat, kebolehan dan kepakaran untuk menjadi wakil rakyat dan capaian di media sosial.

“Ini beberapa perkara yang akan dititikberatkan dalam sistem pemarkahan untuk kita senarai pendek calon kita,” katanya.

Buat masa ini, Rafizi berkata, pencalonan dalam talian tidak akan merujuk mana-mana kawasan pilihan raya dan terbuka kepada 222 kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita tidak hadkan di dalam sistem kerusi mana boleh isi dan kerusi mana tak boleh. Ia terbuka kepada 222 kawasan Parlimen dan lebih 500 kerusi DUN. Tetapi kita tahu PKR akan bertanding di kerusi tertentu saja apabila proses rundingan kerusi ditamatkan minggu depan.

“Kalau saingan antara calon seimbang, Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) PKR akan mengadakan proses terakhir iaitu kaji selidik menerusi telefon untuk menguji calon ini dengan menghubungi pengundi di kawasan itu, iaitu sekitar 500 hingga 600 orang.

“Itu akan menjadi maklumat tambahan kita untuk membantu memastikan calon yang akhirnya kita tawarkan kepada rakyat sudah melalui proses terbaik,” katanya.

Individu yang dicalonkan oleh cabang-cabang akan diberi markah tambahan dalam proses penilaian memandangkan mereka diyakini mempunyai keupayaan jentera yang boleh membantu parti dalam PRU kelak.

Related posts

Leave a Comment