PM selesai menghadap, tiada kenyataan

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan selepas Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob  meninggalkan Istana Negara setelah kira-kira satu jam menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau yang menaiki Toyota Vellfire keluar pada pukul 4.45 petang dan hanya melambai tangan ke arah pengamal media yang menunggu di Pintu Satu, Istana Negara..

Terdahulu, kenderaan membawa Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang memasuki pekarangan Istana Negara pada pukul  2.07 petang.

Kira-kira 100 media tempatan dan antarabangsa berkumpul di luar pintu masuk Istana Negara di sini seawal pukul 7.30 pagi berikutan spekulasi kuat yang mengatakan Perdana Menteri akan menghadap Agong bagi menasihatkan tarikh pembubaran Parlimen.

Tengah hari tadi, Perdana Menteri memaklumkan agenda pembubaran Parlimen berkemungkinan dibincangkan dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, petang ini.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, mesyuarat Kabinet akan diadakan esok (Jumaat), sekali gus memberi petunjuk Parlimen tidak akan dibubarkan pada hari berkenaan.

Justeru, tegas beliau, isu Parlimen dibubarkan atau sebaliknya, tidak sepatutnya ditimbulkan.

“Saya anggota Jemaah Menteri, ada notis untuk esok… macam biasa, mesyuarat mingguan yang lazimnya hari Rabu, namun sebab Parlimen bersidang maka diadakan pada Jumaat.

“Maka kami dan menteri lain akan hadir mesyuarat macam biasa, kerja jalan terus. Ada mesyuarat (Kabinet) esok, Parlimen tak bubar lagi esok,” katanya dalam sidang media Pasukan Jihad Inflasi di Bangunan Parlimen, di sini.

Annuar juga menegaskan, beliau tidak tahu-menahu bila Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen.

“Dalam Kabinet, kita tidak mengundi pun soal bubar, tidak bubar ini. Namun di peringkat parti-parti ada membuat pandangan masing-masing. Bagaimanapun, kena berbalik kepada peraturan, parti tidak membubarkan Parlimen,” ujarnya.

Berdasarkan peraturan, Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen dan pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak Agong, baginda boleh terima atau menolak.

Related posts

Leave a Comment