GPS tunggu ‘beduk’ dibunyikan

KUCHING 6 Okt. – Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah mempersiapkan calon terbaik untuk ditampilkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Pengerusinya, Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata pihaknya sudah bersedia sepenuhnya dan hanya menunggu ‘beduk’ dibunyikan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, untuk pilihan raya diadakan.

“GPS akan menghantar wakil rakyat hebat-hebat ke Parlimen pada pilihan raya akan datang,” katanya pada Majlis Perasmian Dewan Komuniti Kampung Haji Baki dan Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Semeba dan Kampung Tematu, hari ini.

Abang Johari yakin dengan suasana politik negeri yang aman menjelang PRU-15, GPS akan terus meraih sokongan majoriti rakyat.

“Alhamdulillah, politik kita (Sarawak) tenang sahaja dan ini membuatkan kita hanya menunggu beduk dibunyi. Saya pun tak tau bila ia akan dibunyi, tetapi kita sudah bersedia.

Sebelum ini, Abang Johari mengumumkan GPS kekal bertanding di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU-15.

Ketika ini, GPS mempunyai 19 wakil di Parlimen dengan 13 kerusi diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tiga kerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS), dua kerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) dan satu kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Related posts

Leave a Comment