KUALA LUMPUR 4 Okt. – Perikatan Nasional (PN) tetap dengan pendirian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri Pantai Timur.
Pengerusi PN, Muhyiddin Mohd Yassin, berkata pilihan raya ketika musim banjir akan menjejaskan perjalanan pilihan raya, serta menyusahkan rakyat.
Justeru semua anggota Kabinet daripada PN sudah diminta untuk menetapkan pendirian ini pada Mesyuarat Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen PN juga diminta mengambil pendirian sama.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir, di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik.
Menurut Muhyiddin, rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit, selain proses pemulihan negara yang masih perlahan.
“Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023,” katanya.