Kes, kematian tertinggi di Thailand

BANGKOK 29 Julai – Thailand sekali lagi mencatatkan rekod tertinggi kes dan kematian akibat Covid-19 hari ini selepas merekodkan 17,669 kes dan 165 kematian.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 561,030 orang manakala kematian pula 4,562.

Kes tertinggi sebelum ini adalah semalam sebanyak 16,533 dan kematian tertinggi direkodkan pada 17 Julai sebanyak 141 orang.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, sebanyak 17,408 kes melibatkan penduduk awam manakala 261 dalam kalangan banduan penjara.

Sejak 1 April lalu apabila gelombang ketiga bermula, jumlah pesakit yang direkodkan adalah 532,167 di mana 352,864 dilaporkan sembuh dan kematian .4,468 orang.

Dan jika dirujuk perangkaan sejak bermulanya pandemik tahun lalu, sebanyak 561,030 kes Covid-19 dilaporkan dan 370,492 pulih dan 4,562 kematian .

Lebih separuh kematian yang direkodkan hari ini adalah di Bangkok dan lima wilayah berdekatan.

Di ibu kota Bangkok sahaja 58 kematian diikuti Samut Prakan 32, Pathum Thani  17, Nonthaburi (9), Samut Sakhon (6) dan Nakhon Pathom (5).

Bangkok juga merekodkan kes tertinggi iaitu 3,963 , Samut Sakhon (1,172), Nakhon Pathom (984), Chon Buri (982) dan Samut Prakan (810).

Sebanyak 17 kes import dilaporkan, enam melibatkan warganegara Thailand yang pulang dari Myanmar, empat dari Malaysia, dan yang lain ketibaan dari Rusia, Amerika Syarikat, Colombia, United Kingdom dan Myanmar

Related posts

Leave a Comment