Masa mengundi dipanjang satu jam

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Tempoh masa pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dipanjangkan selama satu jam bagi Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

Bagi Semenanjung, waktu mengundi ditetapkan ialah bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang manakala pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia adalah antara beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini lebih efisyen, adil dan telus.

Wan Junaidi berkata, pemanjangan tempoh masa berkenaan, berbanding 8 pagi hingga 5 petang pada PRU14, dapat memberi masa yang mencukupi kepada pemilih untuk mengundi.

Beliau memaklumkan, penambahbaikan lain termasuk mewujudkan saluran khusus kepada pengundi 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU).

“Saluran satu dan dua di pusat mengundi adalah dihadkan kepada 450 orang pemilih saja dan adalah saluran khusus kepada pengundi 60 tahun ke atas serta OKU.

“Selain itu, berikutan pelaksanaan undi 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik, SPR juga mengambil inisiatif untuk menambah jumlah pusat mengundi dan saluran sedia ada, bertujuan mengelakkan kesesakan di pusat mengundi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) yang bertanya mengenai penambahbaikan yang akan dilaksanakan SPR bagi memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi, selain jaminan ketelusan proses mengundi pada PRU-15.

Related posts

Leave a Comment