Pandemik bakal berakhir di Indonesia

JAKARTA: Indonesia bakal mengumumkan pandemik Covid-19 akan berakhir di negara itu berikutan penyebaran wabak berkenaan semakin reda, kata Presiden Joko Widodo (Jokowi).

“Pandemik memang sudah mulai mereda. Tidak lama lagi kita akan nyatakan pandemik sudah berakhir,” kata Jokowi dalam kenyataan  yang disiarkan di saluran YouTube Sekretariat Presiden hari ini.

Dalam kenyataan ini juga, Jokowi turut menyentuh mengenai situasi ekonomi di seluruh dunia yang disifatkan beliau berada dalam situasi tidak baik.

Bahkan, kata beliau, negara maju juga berada dalam keadaan tidak baik

Menurut Jokowi, proses pemulihan ekonomi pasca pandemic Covid-19 belum normal sepenuhnya, lebih-lebih lagi keadaan diburukkan dengan perang antara Rusia dan Ukraine.

“Kita tahu sekarang krisis makanan dan kewangan sedang terjadi, tapi negara kita di suku kedua tahun 2022 dan (ekonomi) mampu tumbuh 5.4 peratus,” jelas beliau.

Indonesia sehingga kini masih meletakkan negara dalam keadaan gawat berikutan penularan Covid-19.

Sementara itu, pertubuhan Ikatan Doktor Indonesia (IDI) meningatkan pemerintah supaya tidak terburu-buru mengisytiharkan pandemik Covid-19 sudah berakhir di negara itu.

Ini kerana, kata IDI, satu-satunya pihak yang boleh mengumumkan perkara itu ialah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Ketua Umum Pengurus Besar IDI, M Adib Khumaidi, terdapat sejumlah indikator yang dapat menjadi parameter keadaan Covid-19 di Indonesia sudah reda antaranya jumlah kes aktif, kes positif, kematian serta capaian vaksinasi.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin berkata, beliau diminta Jokowi untuk merujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) soal status pandemik Covid-19 di Indonesia.

Menurut Budi, pihak WHO membenarkan permintaan itu jika kerajaan Indonesia akan melonggarkan beberapa peraturan berkaitan  protokol kesihatan.

Sementara itu, ditanya lebih lanjut bila  masyarakat Indonesia tidak lagi perlu memakai pelitup muka di tempat umum, Budi menjelaskan perkara itu bergantung kepada kebijaksanaan Presiden Jokowi.

Related posts

Leave a Comment