Pas, UMNO bertemu bincang kerjasama

BANTING 3 Okt. – Pas akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi UMNO dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata kerjasama itu membabitkan 27 kerusi Parlimen serta beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang dilihat mempunyai potensi dimenangi sekiranya ada permuafakatan bersama UMNO.

“Kalau tidak boleh semua pun (permuafakatan antara UMNO-Pas), mungkin tempat tertentu. Tidak mustahil,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Jentera Pas Selangor 2022, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang perbincangan dengan parti di luar komponen Perikatan Nasional (PN) akan dilaporkan dalam Majlis Presiden PN bagi mencari jalan terbaik ke arah permuafakatan politik.

Mengulas mengenai tiga syarat ditetapkan UMNO kepada Pas untuk mereka kembali ke meja rundingan berhubung kerjasama menghadapi PRU15 pula, Tuan Ibrahim berkata, kerangka permuafakatan itu perlu membincangkan titik persamaan.

Syarat itu ialah Pas perlu keluar daripada gabungan PN; memutuskan hubungan politik dengan Bersatu; serta mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam berkata UMNO akan kembali ke meja rundingan dengan Pas berhubung kerjasama dalam PRU15 jika parti itu memenuhi tiga syarat ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment