Pulih MN berasas prinsip asal

KUALA LUMPUR 2 Okt. – UMNO mengulangi pendirian sebelum ini bahawa usaha memulihkan Muafakat Nasional (MN) perlu berasaskan prinsip asal yang dimeterai bersama oleh UMNO dan Pas.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menegaskan, UMNO tidak sesekali dapat menerima mereka yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap dengan menjadikan BN sebagai musuh utama mereka.

Menerusi satu kenyataan di media sosialnya malam ini, beliau berkata, UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi teras MN dan asas kepada kestabilan politik tanah air.

“Sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama perlulah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.

Sebab itulah sejak dari awal UMNO sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam kenyataan itu turut mengesahkan pertemuannya dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini

Beliau sedar pelbagai spekulasi timbul susulan pertemuan empat mata itu yang menurutnya berlangsung penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah dan ukhuwwah persaudaraan Islamiah.

“Saya mengesahkan Presiden Pas ada mengunjungi dan mengadakan pertemuan di kediaman saya pada 17 September lalu.

“Banyak perkara dibincangkan, termasuklah mengenai agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama satu ketika,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, semangat kerjasama politik atau taawun siyasi antara UMNO dan Pas sebelum ini berpaksikan kepada keinsafan mengenai perlunya dua parti induk Bumiputera Melayu-Islam diperkasakan bagi memungkinkan terlaksananya penyatuan ummah.

Related posts

Leave a Comment