BAGAN 20 Jun – Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Kasih@Hawana sebagai sokongan berterusan terhadap kebajikan pengamal media di negara ini.
Perdana Menteri berkata, setakat ini sebanyak 773 pengamal media seluruh negara sudah menerima sumbangan berjumlah RM2.26 juta.
“”Jadi, kerana kejayaan ini, atas semangat ihsan dan kasih, maka Tabung Kasih@Hawana untuk tahun 2026 ini, kita peruntukkan (tambah) RM1 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2026 di sini hari ini.
Tabung Kasih@Hawana yang dilancarkan sempena sambutan Hawana 2023 diwujudkan bagi membantu pengamal media dan bekas pengamal media yang memerlukan termasuk menerusi bantuan kewangan, kos perubatan, kebajikan keluarga serta bentuk sokongan lain.
Pada majlis itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena Butterworth, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyampaikan sumbangan tabung itu kepada tiga lagi penggiat industri itu bagi membantu meringankan beban mereka yang kini berdepan masalah kesihatan.
Mereka adalah bekas Penerbit Eksekutif Media Prima Berhad, Noraini @ Talhah Mat Tahir; wartawan Makkal Osai’ Guanalan Sengalaney dan bekas wartawan sambilan akhbar Kwong Wah Yit Poh, Ch’ng Lay Wah.
Noraini, 63, yang berkecimpung selama 30 tahun dalam industri media kini berdepan masalah osteoartritis serius sejak Januari lepas dan keadaan itu menyebabkan beliau perlu menjalani pembedahan penggantian lutut.
Sementara itu, Guanalan, 61, yang berpengalaman 17 tahun dalam bidang kewartawanan kini menjalani rawatan penyakit jantung dan tekanan darah tinggi manakala Lay Wah menghidap kanser payudara sejak dua tahun lalu.
Majlis Kemuncak Hawana 2026 yang bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara selain wakil delegasi dari Timor-Leste, Kemboja dan Laos.
Ia turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Bahria Mohd Tamil.
Turut hadir Pengerusi Bernama, Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hawana 2026 Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj serta barisan pengurusan tertinggi syarikat media tempatan dan rakan strategik Hawana 2026.
Nnnn
