SEPANG 20 Jun – Putra menyatakan hasrat untuk bertanding tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan empat kerusi di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) yang dijadualkan berlangsung Julai dan Ogos ini.
Setiausaha Agung Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Biro Politik dan Ahli Dewan Tertinggi Putra, semalam.
Putra katanya mengambil pendekatan ukur baju di badan sendiri dan mahu bertindak sebagai semak dan imbang serta benar-benar berjuang dan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia sama ada di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat.
Menurut Nasrul Ali Hasan, bagi PRU DN Johor, keputusan muktamad akan dibuat pada 24 Jun berdasarkan beberapa faktor termasuk penyertaan Putra mesti melalui kerjasama politik pilihan raya bersama Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Putra juga mengambil kira sejumlah parti yang akan bertanding, dan tidak mahu di label sebagai punca memecah undi Melayu yang bercanggah dengan matlamat penyatuan ummah.
“Putra berpegang kuat kepada prinsip kepemimpinan ‘bertindak dan laksanakan apa jua keputusan seperti apa yang ditetapkan bukan cakap lain, buat lain.’, katanya.
Nasrul Ali Hasan berkata, Putra juga mengambil kira kebarangkalian menang atau kalah selepas PRU DN Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara mengejut manakala keupayaan jumlah kerusi bertanding juga memberi gambaran sebagai parti pembangkang untuk semak dan imbang.
“Keputusan bertanding atau tidak di PRN Negeri Sembilan juga bergantung kepada kajian impak PRN Johor terutama ‘kesan pecah undi’ pertandingan banyak penjuru dan sikap rakyat terhadap isu-isu semasa hasil undi yang dibuat oleh rakyat Johor sebagai panduan,” katanya.
Beliau juga menegaskan Putra akan kekal istiqamah sebagai parti yang tidak gelojoh, dapat mengawal nafsu dan tahu mengukur baju di badan sendiri.
“Putra mengambil pendirian bahawa sesuatu perjuangan yang suci dan prinsip yang tegas, akan mengambil masa yang panjang dan Putra dalam proses kebangkitan tahap demi tahap dan hanya yang cekal dapat bertahan bersama Putra.
Putra akan menjadi wadah parti umat Melayu yang kekal bersih, berintegriti dan bermoral dan tidak akan menjadi parti menang sorak kampung tergadai,” katanya.
Nnnn
