BAGAN 21 Jun – Kerajaan bersetuju meneruskan Dana Inovasi Media bagi membantu organisasi media tempatan melaksanakan inovasi dan pengukuhan operasi transformasi digital industri itu, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan RM30 juta bagi dana itu yang diumumkan pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) tahun lalu.
Katanya , sehingga kini, sebanyak 72 syarikat media sudah menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah RM24.57 juta daripada dana itu.
“Kita menyediakan peruntukan dan seboleh mungkin dana itu digunakan. Kemudian, kita tambah supaya tabung itu tidak akan diganggu atau kekurangan. Jadi, ini berita baik untuk kita. Jalankanlah kerja baik,” kata Menteri Kewangan itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hawana 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini, hari ini.
Dana Inovasi Media diwujudkan bagi menyokong transformasi industri media melalui pembangunan projek inovatif merangkumi aspek kandungan, teknologi media dan strategi digital.
Dana itu turut memberi tumpuan kepada latihan pengamal media, penghasilan kandungan kreatif dan interaktif, serta usaha memperkukuhkan penyampaian maklumat yang tepat dan relevan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengamal media tempatan khususnya mereka yang terus melaksanakan tanggungjawab berlandaskan etika dan integriti tinggi dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Beliau berkata tugas pengamal media pada masa kini bukan mudah, terutama ketika dunia berdepan ledakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang membawa cabaran baharu kepada industri media.
“Saya harus sampaikan terima kasih dan menghargai jasa khidmat berpanjangan rakan-rakan pengamal media di Malaysia,” katanya.
Anwar berkata pengamal media memainkan peranan penting dalam membantu memperkukuh kefahaman rakyat terhadap pelbagai dasar dan agenda pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata kebebasan bersuara dan penyampaian maklumat perlu terus dipertahankan, namun mesti diseimbangkan dengan tanggungjawab serta berteraskan etika bagi memastikan maklumat yang disampaikan tepat, sahih dan bertanggungjawab.
Kadang-kadang orang sibuk bercakap soal pertumbuhan ekonomi, digital, transisi tenaga dan AI tetapi jangan lupa bahawa semua kerangka baharu itu tidak harus meninggalkan aspek etika dan nilai.
Apa yang disampaikan itu benar atau palsu, hak atau batil, ditentukan oleh etika dan nilai, bukan semata-mata fakta. Ini satu cabaran besar yang perlu kita hadapi dan amalkan,” katanya.
Anwar berkata kebebasan perlu diberikan ruang dalam sebuah masyarakat demokratik, namun pada masa sama perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab agar tidak disalahgunakan sehingga boleh menjejaskan kestabilan sistem dan institusi negara.
Beliau berkata penyampaian maklumat yang bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam membantu rakyat membuat penilaian yang tepat terhadap sesuatu isu, khususnya dalam era ledakan maklumat dan media sosial.
Sementara itu, pada majlis sama, Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bernama dan TATOLI, agensi berita nasional Timor-Leste.
Nnn
