BAGAN 21 Jun – Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman menerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2026, selepas lebih tiga dekad mewarnai dunia penyiaran dan kewartawanan.
Beliau menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada majlis kemuncak sambutan Hawana 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth hari ini.
Berpengalaman lebih 35 tahun dalam industri media, Suhaimi memulakan kerjaya sebagai wartawan meja ekonomi TV3 pada 1990 sebelum muncul sebagai antara personaliti berita paling dikenali di Malaysia.
Sepanjang kerjayanya, beliau terlibat dalam penerbitan pelbagai program utama termasuk Buletin Utama, Nightline dan Malaysia Hari Ini (MHI) selain mengetuai liputan khas Pilihan Raya Umum serta Belanjawan Negara.
Beliau turut menjadi sebahagian daripada pasukan pengasas Astro AWANI sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang saluran berita itu, selain diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif TVS dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia.
Di sebalik kejayaan yang diraih, Suhaimi juga dikenali sebagai mentor yang komited membimbing generasi baharu wartawan dan pemimpin media menerusi pelbagai program latihan kewartawanan serta komunikasi strategik termasuk pada peringkat ASEAN.
Sementara itu, bekas Ketua Bernama Radio, Allahyarham Azlan Idris diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Hawana 2026 .
Azlan, 57, yang meninggal dunia pada 15 Januari lalu, antara tonggak utama kecemerlangan Bernama Radio sejak penubuhannya pada 2007 serta pernah mencurah bakti dalam industri penyiaran tanah air di TV3, NTV7 dan Channel 9
Allahyarham juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran empat edisi sambutan Hawana menerusi komitmen dan dedikasi yang tinggi sejak dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Majlis Kemuncak Hawana bermula 2022.
Hadir pada Majlis Kemuncak Hawana 2026 adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) D Wong Chun Wai.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hawana 2026 Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Nnnn
