DAP tanding lebih banyak kerusi di Perak

IPOH 3 Okt. – DAP dijangka bertanding lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, kebanyakan di kawasan majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

Beliau berkata, jumlah kerusi tambahan secara terperinci akan diumumkan bersama selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Bercakap pada sidang media selepas Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak di sini, hari ini, beliau berkata, terdapat 24 kerusi Parlimen di Perak yang semuanya masih mempunyai potensi untuk dimenangi pada PRU-15.

“Sekarang ini DAP (mempunyai) tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN, kita menang semua 25 kerusi dalam pilihan raya lalu dan kita berharap untuk menyumbang lebih banyak kerusi kepada PH,” katanya.

Pada PRU-14, DAP menang di semua kerusi Parlimen yang ditandingi iaitu Ipoh Timor, Ipoh Barat, Kampar, Batu Gajah, Teluk Intan, Beruas dan Taiping.

Ditanya sama ada terdapat pertambahan kerusi DAP di negeri lain pada PRU-15, Loke berkata, pertambahan juga ada tetapi bukan di semua negeri.

Related posts

Leave a Comment