PERDANA Menteri Britain, Liz Truss turut berdukacita dengan kemangkatan Ratu Elizabeth II yang bukan sahaja menjadi inspirasi kepada dirinya malahan bagi kebanyakan warga Britain.
Sambil menyifatkan ia satu kehilangan besar dengan meninggalkan satu warisan hebat, beliau berkata perkhabaran itu amat mengejutkan bukan sahaja kepada Britain tetapi juga dunia.
Lebih tersentuh dengan pemergian itu, Truss mengimbau kembali restu yang diberi oleh pemerintah itu kepadanya sebagai Perdana Menteri Britain Ke-15.
“Awal minggu ini, pada usia 96 tahun, beliau tetap bertekad untuk menjalankan tugasnya sambil melantik saya sebagai Perdana Menterinya yang ke-15,” kata Truss,dalam ucapan di Downing Street.
Menyifatkan Ratu Elizabeth II sebagai batu asas pembinaan Britain moden, Truss berkata, negara telah berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah negara hebat di bawah naungan baginda.
“Beliau memperjuangkan pembangunan Komanwel – daripada sekumpulan kecil tujuh negara kepada keluarga 56 negara yang merangkumi setiap benua di dunia. Beliau memberikan kestabilan dan kekuatan.
“Beliau adalah semangat Great Britain – dan semangat itu akan kekal,” katanya.
Menurut Truss, Ratu Elizabeth II adalah raja yang paling lama memerintah, satu pencapaian yang luar biasa untuk memerintah selama 70 tahun.
“Perkhidmatannya menjangkau kebanyakan kenangan hidup kami dan sebagai balasan, dia disayangi dan dikagumi oleh penduduk di United Kingdom dan di seluruh dunia,” katanya.
Katanya, dalam hari-hari sukar yang akan datang, penduduk di seluruh United Kingdom, Komanwel dan dunia akan terus mengenang perkhidmatan luar biasa sepanjang hayat baginda.
Truss juga menyentuh mengenai raja baharu, Raja Charles III yang akan menggantikan tempat ibunya sebagai pemerintah.
“Bersama keluarga Raja, kami bersedih atas kehilangan ibunya dan semasa kita berkabung, kita mesti bersatu sebagai rakyat untuk menyokongnya, membantunya memikul tanggungjawab untuk kita semua.
“Kami menawarkan kesetiaan dan pengabdian kami kepadanya sebagaimana ibunya berbakti kepada banyak orang sejak sekian lama.
“Dan dengan berlalunya zaman Elizabeth kedua, kita menyambut era baru dalam sejarah indah negara besar kita,” kata Truss sambil mengucapkan …Tuhan selamatkan Raja.