Mesyuarat Dewan Rakyat 32 hari mulai 3 Okt.

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Rakyat akan berlangsung selama 32 hari mulai 3 Oktober hingga 29 November ini dengan tumpuan utama terarah kepada pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini.

Menurut kenyataan Parlimen, mesyuarat Ketiga Penggal Kelima bagi Dewan Negara pula akan berlangsung selama 11 hari mulai 21 November hingga 7 Disember 2022.

Mesyuarat ketiga penggal kelima diawalkan daripada tarikh takwim asal bagi membolehkan pembentangan bajet yang ditetapkan pada 28 Oktober diadakan tiga minggu lebih awal seperti diputuskan mesyuarat Kabinet 26 Ogos lalu.

Mengikut takwim asal di laman web Parlimen, mesyuarat ketiga penggal kelima dijadualkan bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022 yang mana Dewan Rakyat akan bersidang selama 31 hari untuk membahaskan Bajet 2023.

Dengan perubahan tarikh mesyuarat itu, timbul spekulasi menyatakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan lebih awal, mungkin November ini selepas pembentangan Bajet 2023 diluluskan.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menjelaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dijadual dibentang Jumaat depan, perlu dibentangkan semula di Parlimen jika RUU berkenaan belum diluluskan kerana PRU15.

Beliau menjelaskan, kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU perlu membentangkan semula RUU berkenaan bagi bacaan kali pertama dan seterusnya.

Antara RUU yang akan dibentangkan RUU Perbekalan Tambahan 2022 dan RUU Tanggungjawab Fiskal, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) dan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

Related posts

Leave a Comment