270 kes baharu Brunei Darussalam

BERAKAS 13 Mei  – Brunei Darussalam hari ini mencatatkan 270 kes baharu Covid-19, menunjukkan peningkatan berbanding 250 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 144,136.

Menteri Dalam Negeri Abu Bakar Apong berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 268 adalah hasil Ujian ART dan dua kes lagi hasil daripada 280 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap mewakili Menteri Kesihatan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Bagaimanapun satu kes direkodkan dalam Kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Sebanyak 145 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 142,318 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,598 kes, iaitu 16 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,582 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, 1,738 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 30,948 atau 72.1 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 1,352 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 8,542 atau 20.1 peratus manakala 68.0 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment