Tidak wajar paksa Pas pilih rakan

PUTRAJAYA 29 Sept. – Pas tidak patut dipaksa memilih rakan politik untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pas juga berpendirian perlu ada penyatuan ummah di antara semua parti politik yang mewakili masyarakat Melayu Islam, termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, semua pihak perlu melihat kestabilan politik masa depan terutama ketika negara berdepan situasi ekonomi, bebanan kos sara hidup serta Covid-19.

Katanya, keutamaan perlu diberikan dalam menangani situasi berkenaan dengan

kestabilan perlu ada muafakat politik.

“Saya fikir tidak boleh (diberikan) ultimatum (amaran terakhir) tapi kena tengok masa depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Berikutan itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas bersedia berbincang dengan UMNO dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk Bersatu bagi mencapai permuafakatan politik.

Mengenai kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, Selasa lalu bahawa Bersatu tidak akan bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Tuan Ibrahim berkata, Pas mempunyai sejarah berlawan lebih lama berbanding Bersatu.

“Dua-dua perlu duduk bersama kerana sebahagian besar pemimpin Bersatu bekas pimpinan UMNO.

“Kalau kira sejarah politik Pas lebih lama berlawan dengan UMNO dibanding dengan Bersatu. Saya fikir ada ruang untuk duduk berbincang.

“Kita perlu adakan perjumpaan dan tidak menjadikan media sebagai medan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment