Zahid ulangi gesaan bubar MPN

SEPANG 28 Sept. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi desakan supaya Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibubarkan susulan fungsinya yang tidak jelas dan tidak perlu.

Katanya, MPN yang diterajui  Muhyiddin Yassin juga bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi-agensi Kerajaan lain yang bertindak sebagai penasihat serta pelaksana.

Selain itu, katanya, jemaah menteri pula sentiasa menyelaras fungsi agensi dan membawa sebarang dasar dicadangkan di peringkat kementerian untuk dipertimbangkan Kabinet sebelum dilaksanakan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu antara lain menegaskan alasan sedemikian sudah mencukupi untuk kerajaan berfungsi dan berjalan dengan baik.

Selain fungsi MPN yang bercelaru, Pengerusi MPN (Muhyiddin) yang bukan seorang Perdana Menteri dilihat melemahkan majlis itu sendiri.

“Meskipun MPN dianggotai oleh pakar, namun keberadaan Pengerusi MPN yang bukan Ketua Eksekutif menjadikan sebab pelaksanaan cadangan majlis itu kurang ‘political will’ dan mungkin dilihat tidak perlu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid pada 30 Jun lalu dilapor menggesa MPN dibubarkan selepas kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, selain menyifatkan majlis berkenaan dijadikan platform untuk memberikan Muhyiddin peluang menaikkan imej peribadi dan parti, bukannya bersuara bagi pihak rakyat serta kepentingan negara.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilapor senada dengan pandangan Ahmad Zahid berhubung gesaan membubarkan MPN yang disifatkan gagal berfungsi.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, MPN hanya ibarat sebuah jawatankuasa ditubuhkan semata-mata untuk menyedapkan hati rakyat dalam usaha memulihkan ekonomi negara yang tenat.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Zahid berkata, gesaan membubarkan MPN dibuat selepas Muhyiddin sekali lagi mengadu mengenai keberkesanan MPN, selain menyalahkan kerajaan, Kabinet dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob kerana hanya menjalankan 16 daripada 69 cadangan majlis berkenaan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, gesaan itu antara lain dibuat selepas Muhyiddin dilihat menggunakan MPN sebagai platform untuk mengabsahkan propaganda politiknya.

“Adat memberi cadangan, jika diterima kita bersyukur dan jika tidak, mungkin ada cadangan lebih baik. Maka, Muhyiddin tidak perlu berkeluh kesah seakan kerajaan telah menidakkan peranan MPN atau MPN telah gagal.

“Menerusi 16 daripada 69 cadangan MPN yang sudah dilaksanalan itu sendiri menunjukkan kerajaan masih mengambil serius pandangan majlis meskipun kewujudannya tidak jelas, tidak perlu dan bertindih,” katanya

Ahmad Zahid juga mendakwa semasa kempen politik Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Muhyiddin menggunakan cadangan MPN sebagai peluru politik dalam kempen dengan menggambarkan seakan kerajaan akan gagal jika ia tidak dilaksanakan.

“Sedangkan rakyat tahu, MPN hanya menasihati dan memberikan cadangan kepada kerajaan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, menerusi 16 daripada 69 cadangan MPN yang sudah dilaksanalan itu sendiri menunjukkan kerajaan masih mengambil serius pandangan majlis meskipun kewujudannya tidak jelas, tidak perlu dan bertindih.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Malaysia memerlukan kestabilan politik sebagai ramuan utama sebelum pelbagai bentuk polisi yang bermakna dapat dibentuk.

“Insya-Allah dengan kemenangan majoriti BN/UMNO kelak, MPN atau majlis seakan MPN tidak lagi diperlukan dan sinergi tersusun antara kerajaan, sektor swasta dan ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan terus dirintis bagi membangunkan Malaysia tercinta,” katanya.

Related posts

Leave a Comment