“Guan Eng tak akan kata saya berjaya”

KUALA LUMPUR 27 Sept. – “Sampai kiamat pun dia (Lim Guan Eng) tak akan kata saya menteri yang berjaya,” .

Itulah reaksi Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein yang disenaraikan oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng sebagai antara 10 menteri yang gagal menjalankan tugas.

Menurut Hishammuddin, dalam politik, apabila kenyataan seumpama itu dikeluarkan, maknanya orang itu (Guan Eng) bimbang dengan apa yang sudah beliau lakukan sebagai anggota Kabinet.

Hishammuddin yang disenaraikan di kedudukan pertama menyifatkan serangan itu sebagai cerminan kerisauan Pengerusi DAP itu terhadap kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Alhamdulillah, saya harap dia (Guan Eng) ulang kali kata saya sebagai menteri paling gagal dalam Kabinet. (Jika) Orang tak endahkan kita, maknanya kita tak buat kerja.

“Saya nak beritahu kepada Guan Eng, cakaplah lebih lagi kerana saya tahu sampai kiamat pun dia tak akan kata saya menteri yang berjaya,” katanya pada sidang media Program Inisiatif Kesihatan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral  Zamrose Mohd Zain.

Guan Eng minggu lalu, menyenaraikan 10 menteri yang disifatkannya gagal menjalankan tugas dengan menamakan Hishammuddin di kedudukan pertama susulan isu pembelian kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Sembilan lagi adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa; Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim; Menteri Sumber Manusia,  M Saravanan, Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Turut tersenarai adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapha Mohamed; Menteri Alam Sekitar dan Air,  Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli,  Takiyuddin Hasan.

Related posts

Leave a Comment