SELEPAS meninggalkan Johor pada tahun 1995, iaitu sesudah pilihan raya umum (PRU), saya hanya beberapa kali mengunjungi semula negeri itu. Ternyata pembangunan pesatnya berterusan. Banyak perubahan yang berlaku sama ada jalan raya dan bangunan. Ada juga bangunan yang diroboh, ditinggalkan atau terbiar. Begitulah Johor, negeri yang pernah digelar sebagai ‘Tiang seri UMNO’ dan ‘Jantung hati BN’ kerana sering mengekalkan kemenangan 100 peratus atau hampir 100 peratus kerusi yang ditandingi. Ketika itu tidak ada peluang bagi pembangkang termasuk Pas dan DAP. Walaupun pada PRU lalu kedudukan itu sudah terjejas akibat lima kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jatuh ke tangan pembangkang tetapi keadaan masih terkawal. Masih ada ruang untuk diperbaiki dan diubati.
Jika tiang yang condong, boleh sama-sama tegakkan dan jika jan-tung yang berlubang boleh dilakukan pembedahan untuk diubati. Usaha perlu dilakukan bagi mengekang kemaraan pembangkang ter utama DAP yang semakin menunjukkan prestasi yang baik. Jangan ambil mudah. DAP tidak mudah mengaku kalah. Lihat sahaja usaha mereka yang akhirnya membuahkan hasil di Pulau Pinang selepas tiga kali gerakan bertemakan ‘Tanjong’ gagal. Mungkin usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Mohamed Khaled Nordin ketika ini dapat menarik semula pengundi-pengundi di kawasan berkenaan untuk kembali ke pangkuan BN.
Pada hari Jumaat dan Sabtu baru-baru ini, saya sekali lagi sempat berada di Johor bagi menghadiri Majlis Pelancaran YPG Online Learning, YPG Online Centre dan perasmian Perpustakaan Awam Pasir Gudang yang dinaik taraf. Majlis itu disempurnakan oleh wakil Menteri Besar, Maulizan Bujang yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang (YPG). Maulizan juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram. Panjang lebar Maulizan menjelaskan mengenai misi kerajaan Negeri Johor untuk membantu rakyat di negeri itu. Begitu juga dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Md. Za’nal Misran yang berucap pada majlis yang sama. Mereka menjelaskan mengenai usaha-usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan dan perumahan. Melalui Pelan Suara Hati Johor, ia telah mem-bantu kerajaan untuk mendengar masalah penduduk dan berusaha sebaik mungkin meringankan beban rakyat. Tujuh fokus utama diberi perhatian iaitu perumahan, kesihatan; ekonomi dan keusahawanan; agama, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat; keselamatan serta infrastruktur.
Pada hari Jumaat, Mohamed Khaled merasmikan Bas Muafakat Johor (BMJ) anjuran Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Seperti di beberapa negeri lain, perkhidmatan ini diadakan secara percuma. Di Johor ia melibatkan empat kawasan iaitu Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), MPPG dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKU). Terda-pat 30 BMJ beroperasi di 15 laluan utama mulai pukul 6 pagi hingga 8 malam. Cuma di Johor, perkhidmatan percuma ini terhad kepada rakyat tempatan. Penumpang perlu mendaftar dan mendapatkan kad BMJ. Setakat 14 April lalu, seramai 20,000 orang mendaftarkan diri.
Ini adalah langkah untuk membantu rakyat sambil menggalakkan mereka menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam bagi me ngurangkan kesesakan. Di Pasir Gudang, pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan juga menerima peruntukan tambang bas sekolah. Secara tidak langsung bagi mengelakkan kes ponteng dan membantu pemandu bas memperoleh pendapatan tetap. Banyak lagi yang dilakukan oleh kerajaan negeri. Hakikatnya, hasil yang diperoleh sama ada oleh pihak berkuasa tem-patan atau kerajaan negeri boleh dinikmati bersama oleh rakyat. Pulangkan hasil kepada rakyat dalam pelbagai bentuk.
Begitu juga Johor Corporation (JCorp) yang mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM1.74 bilion bagi tahun kewangan 2015. Semalam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Mohamed Khaled menjelaskan kritikan yang dilemparkan pembangkang terhadap JCorp. Bacalah penjelasan itu. Selak hanya ingin memetik bagaimana pulangan yang diberikan oleh JCorp untuk rakyat. Menteri Besar yang juga Pengerusi JCorp menjelaskan pulangan yang diberikan kepada kerajaan negeri selama ini bukan sahaja dalam bentuk kewangan malah merangkumi pelbagai bayaran lain yang bukan secara tunai. Contohnya pengoperasian klinik dan hospital Waqaf An-Nur yang telah merawat 1.1 juta orang tanpa mengira bangsa dan agama. Ia melibatkan rangkaian 22 klinik wakaf di seluruh negara dan sebuah hospital Wakaf An-Nur di Pasir Gudang. JCorp juga mewujudkan 184,000 peluang pekerjaan sehingga 2014, membina sebanyak 12,758 unit rumah mampu milik dan membantu membina dan menyelenggara sehingga enam buah masjid termasuk yang terbaru, Masjid Sultan Iskandar di Bandar Dato’ Onn bernilai RM28 juta. Secara ke seluruhannya, JCorp memulangkan sebanyak RM84.8 juta kepada kerajaan negeri dalam bentuk dividen tunai dan RM630 juta dalam bentuk pulangan bukan tunai, menjadikannya jumlah keseluruhan adalah RM714.8 juta.
Jelas Mohamed Khaled, jika di bandingkan jumlah sumbangan ini dengan RM284.5 juta yang dinyatakan pembangkang, JCorp sudah terlebih bayar kepada kerajaan negeri sehingga RM430.3 juta, jauh melepasi jumlah yang sepatutnya. Memang tepat kata Mohamed Khaled, jika kita ingin menilai sumbangan JCorp atau mana-mana GLC (syarikat berkaitan kerajaan), mestilah bersikap adil dengan mengambil kira bentuk pulangan tunai dan bukan tunai. Diharapkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini berterusan dan dijadikan contoh. Bercakap dan lakukan, bukan retorik atau cakap tidak serupa bikin.
Isu perumahan contohnya perlu diberi perhatian berterusan. Melihat pembangunan pesat di Johor ketika ini, memang timbul kebimbangan sejauh mana rakyat negeri itu terutama orang Melayu mampu mengambil bahagian. Sebelum ini Mohamed Khaled menjelaskan bahawa kerajaan negeri memperkenalkan dasar bahawa Melayu mesti menduduki kawasan bandar melalui Lingkaran Melayu di Bandar. Johor juga berusaha menyelamatkan tanah-tanah pertanian milik orang Melayu. Berkaitan dengan rumah, projek perumahan untuk rakyat Johor meliputi Rumah Mampu Milik di samping PRIMA, PPRT serta skim Skim Sewa Beli. Khabarnya Johor menjadi peneraju pembinaan rumah mampu milik dengan harga yang lebih rendah. Semoga suara hati rakyat terus didengar!
UMA250416010C_2#