KUALA LUMPUR 26 Okt. – Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) atau SG4 disifatkan sebagai ‘gergasi tidur’ yang sedia bangkit dan menggegar landskap ekonomi negara jika semua potensi serta sumber diperkasakan sepenuhnya.
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, gabungan kerajaan empat negeri itu mempunyai kekuatan tersendiri dengan populasi melebihi 5.7 juta penduduk serta keluasan tanah merangkumi lebih 38,000 kilometer persegi.
Sejak SG4 diilhamkan dan direalisasikan, pemimpin negeri ini semakin sedar potensi mereka miliki serta sejauh mana jangkauan boleh dicapai.
“Sekiranya empat negeri ini dapat menyatukan tenaga, menggabungkan sumber dan saling melengkapi, slogan ‘the sky is the limit’ (tiada batasnya) bukan lagi sekadar kiasan.
SG4 mempunyai saiz, kawasan, rakyat dan infrastruktur cukup untuk berkembang menjadi zon ekonomi yang produktif serta menguntungkan,” katanya menerusi teks ucapan khas sempena Sidang Kemuncak SG4 yang dibaca anaknya, Mokhzani Mahathir, hari ini.
Dr Mahathir yang juga Penasihat SG4 sebelum itu memohon maaf menerusi ucapannya kerana tidak dapat menyampaikan sendiri perutusan berkenaan berikutan faktor kesihatan.
“Saya memohon maaf kerana masih belum pulih sepenuhnya dan memohon anak saya, Mokhzani, menyampaikan ucapan ini bagi pihak saya.
“Bagaimanapun, saya amat berharap forum hari ini menjadi tanda aras baharu dalam usaha meletakkan SG4 sebagai entiti yang diterajui pengurusan mantap, berdaya saing, inovatif, mampan dan berpandangan jauh,” katanya.
Mengenai potensi sumber mineral, Dr Mahathir mendedahkan kekayaan unsur nadir bumi (REE) di negeri SG4 yang diiktiraf mempunyai simpanan tertinggi di negara ini dan kini menjadi perhatian pelabur.
Katanya , isu utama sekarang bukan sekadar mengekstrak dan menjual bahan mentah secara terus untuk hasil serta-merta bagi mengisi kantung negeri.
Sebaliknya kata beliau, perancangan perlu dibuat untuk menambah nilai (value-add) kepada mineral ini bagi melipatgandakan hasil pendapatan negeri kerana dengan cara ini projek berkenaan menjadi mampan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
Selain sumber mineral, Dr Mahathir memuji kepimpinan negeri SG4 yang mula beralih daripada aktiviti ekonomi tradisional kepada sektor baharu bernilai tinggi.
Beliau turut menolak persepsi kononnya masyarakat Melayu-Islam di empat negeri berkenaan kurang berdaya saing atau tidak pandai dalam bidang perniagaan.
Katanya, jika perbandingan dibuat mengikut sempadan, ia mungkin kelihatan sedemikian.
Bagaimanapun jika dilihat daripada sudut rakyatnya, usahawan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur, Selangor dan Pantai Barat sebenarnya terdiri daripada anak-anak jati negeri SG4.
Tegasnya, orang Melayu sebenarnya berada pada posisi terbaik untuk menjadi peniaga hebat kerana dibimbing oleh ajaran Islam.
“Islam sentiasa mengingatkan balasan berat bagi mereka yang menipu atau mencuri, dan kejujuran adalah nilai tertinggi. Kebersihan juga adalah asas kehidupan Muslim,” katanya.
Nnn
