Pas tidak akan menjual perjuangan

SEPANG 27 Sept. – Pas tidak akan menjual perjuangannya dengan harga RM90 juta atau pangkat dan kedudukan semata-mata, kata Presidennya, Abdul Hadi Awang.

Ketika menafikan sumbangan RM90 juta yang didakwa diterima daripada UMNO sebelum ini, beliau menjelaskan, jika benar dakwaan itu, Pas pasti boleh menguasai negara sepenuhnya.

“Dan jika benar, UMNO yang menyogok RM90 juta sangat ‘bodoh’ kerana melakukan perkara yang boleh membunuh diri sendiri, sehingga menjatuhkan kerajaannya di negeri yang tidak kuat Pakatan Harapan (PH) dan UMNO berada dalam keadaan lebih kuat,” katanya.

Abdul Hadi berkata, dengan RM90 juta, tentunya Pas lebih mudah meranapkan PH yang banyak duit perbelanjaan untuk media sosial bagi menyebarkan pembohongan dengan meluas tanpa aqidah dan ideologi kerana kepelbagaian anutan ahlinya.

“Pas juga tidak mampu mengadakan media sosial bagi menjawabnya kerana terlalu mahal, apatah lagi untuk menyiarkan fitnah, menipu dan berbohong besar. Balanya tidak mampu dibayar dosanya dengan duit berkali ganda RM90 juta,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurutnya, Pas berusaha untuk mendapatkan kuasa bagi mencegah kemungkaran dengan tangan dan sekurang-kurangnya dengan lidah.

“Maka, ahli Pas yang setia dan berakidah tidak boleh dipotong lidahnya atau ditutup mulutnya oleh UMNO dengan fitnah RM90 juta. Mereka yang memilih untuk tutup mulut pasti akan meninggalkan Pas, atau keluar sendiri menyertai jalan yang mudah menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran sehingga melompat laksana kera yang melihat pokok yang banyak buahnya.

“Pas sangatlah berbeza dengan jenis parti upahan dan pemimpinnya yang berbudi kepada pihak yang memberikan sumbangan kepadanya supaya menjadi alat atau dipergunakan. Sehingga mereka sanggup menjual maruah agama, bangsa dan negara,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Pas mampu bertanding dalam pilihan raya hasil derma ahlinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dan kebanyakannya bertanding di kawasan UMNO.

Tiba-tiba, Pas mampu menawan tiga negeri dan berada dalam kerajaan pusat dengan langkah mengajak UMNO, Bersatu dan pihak lain bersama menumbangkan kerajaan PH yang rapuh.

Ramai jentera Pas bekerja secara sukarela dan parti yang pernah bekerjasama dengan Pas pasti dapat menyaksikan sendiri dengan benar tanpa berbohong. Bahkan, kadang-kadang Pas terpaksa membayar hutang rakan yang meninggalkan pakatannya dan keluar meninggalkan Pas selepas pilihan raya.

Abdul Hadi berkata, Pas mentarbiah ahlinya supaya membina kekuatan diri dengan iman atau aqidah yang lebih lengkap daripada sekadar berintegriti sepertimana yang diuar-uarkan oleh pihak yang lain.

“Ahli-ahli Pas yang sebenar mengetahui betapa pengorbanannya kerana menegakkan Islam itu memerlukan sumbangan ikhlas dan duit yang halal lagi berkat, manakala wakil rakyat Pas pula diwajibkan membuat potongan wang untuk diserahkan kepada partinya,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Pas akan terus mengajak UMNO kepada konsep perpaduan umat mengikut Islam, bukan hanya membabitkan Pas dan UMNO sahaja.

Katanya, tanpa perpaduan, Pas tidak akan berganjak melawan semua pihak termasuklah UMNO.

Related posts

Leave a Comment