Sesak di wad bersalin bermusim

TANJONG KARANG 26 Sept. – Kesesakan di hospital kerajaan terutama di wad bersalin hanya bermusim susulan trend peningkatan kelahiran bayi bermula September hingga November, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, trend kelahiran pada tiga bulan itu tinggi pada setiap tahun dengan kemuncak peningkatan pada Oktober ini.

“Perkara ini adalah fakta yang diperoleh pada setiap tahun dan bukannya sengaja direka. Ia bermusim dan tidak dapat dielakkan kerana jumlah kelahiran bayi yang tinggi sepanjang tempoh tiga bulan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Hospital Tanjong Karang yang baharu, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan wanita yang bersalin di beberapa hospital kerajaan terpaksa ditempatkan di kerusi sepanjang tempoh menunggu kelahiran bayi dengan ada yang terpaksa menunggu berhari-hari untuk mendapatkan katil.

Selain itu, mereka antaranya terpaksa merujuk ke beberapa hospital sebelum diterima masuk ke wad kerana alasan jumlah pesakit dalam satu masa terlalu ramai hingga menyebabkan kekurangan katil.

Sementara itu, Khairy berkata, peningkatan kes tekanan darah tinggi dan kolesterol serta penyakit tidak berjangkit lain yang memerlukan rawatan di wad menjurus kepada peningkatan penggunaan katil di hospital.

“Faktor lain seperti rawatan bayi baru lahir yang tinggal lama dalam wad dan pesakit tidak dapat discaj awal di wad.

“Mereka berdepan kekangan seperti kemungkinan ahli keluarga yang bekerja dan belum bersedia untuk datang mengambil pesakit berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi jangka panjang Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan tindakan seperti mempercepatkan proses discaj untuk kes berisiko rendah dan mengurangkan masa menunggu di wad.

“Selain itu, kita turut merancang menyediakan katil tambahan di hospital berdekatan, selain membuat penilaian ke atas wanita bersalin berisiko rendah boleh dihantar ke pusat bersalin risiko rendah supaya tidak sesak di hospital, “ katanya.

Related posts

Leave a Comment