RM2.08 bilion melalui akaun peribadi

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, akaun peribadi AmIslamic Bank milik bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menerima kemasukan wang berjumlah RM2.08 bilion melalui sembilan transaksi pada 2013.

Saksi ke-37 pendakwaan, R Uma Devi yang juga Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan mengesahkan kemasukan wang itu ke dalam akaun Najib bernombor 211-202- 200969-4 (AM Private Banking MR) pada Mac dan April 2013.

Beliau yang dirujuk dengan dokumen penyata akaun itu, mengesahkan wang sebanyak RM155 juta masing-masing dimasukkan ke dalam akaun itu melalui tiga transaksi pada 22 Mac 2013, RM188 juta (26 Mac 2013), RM231 juta dan RM138.8 juta (28 Mac 2013), RM152.5 juta (8 April 2013), RM304 juta (9 April 2013) dan RM602 juta (10 April 2013)

Wang yang diterima itu berkaitan tuduhan ketiga terhadap Najib sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, yang menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.08 bilion.

Saksi itu berkata, antara 2 hingga 23 Ogos 2013, Najib mengeluarkan sejumlah RM2.03 bilion daripada akaun terbabit.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, melalui pernyataan pembukaan sebelum ini, berkata sembilan pertuduhan pertama ke atas Najib membabitkan kes pengubahan wang haram yang berkait dengan penerimaan RM2.08 bilion ke dalam akaunnya.

Katanya, antara 2 hingga 23 Ogos 2013, tertuduh memindahkan RM2.03 bilion ke Tanore Singapore dan baki RM22.6 juta digunakan untuk membayar empat entiti dan seorang individu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, Uma Devi berkata, hanya Najib mendapat keistimewaan menukarkan akaunnya dengan nombor berakhir 694 dan 889 kepada kod selepas mendapat kelulusan pihak pengurusan atasan bank.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Pekan itu bertanggungjawab terhadap akaun itu seperti termaktub pada terma pembukaan akaun, yang mana hanya Pengurus Perhubungan dan Pengurus Cawangan bank boleh mendapatkan akses kepada akaun berkenaan.

Najib seperti perbicaraan sebelum ini dilaporkan memiliki lima akaun di AmIslamic iaitu akaun semasa 211-202-201188-0 dengan kod AmPrivate Banking – 1MY, 211-202-201189-8 (AmPrivate Banking – Y1MY) dan 211-202-201190-6 (AmPrivate Banking – MY) manakala dua lagi akaun dengan nombor 211-202-200969-4 dan 211-002-009048-1 (akaun simpanan).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Related posts

Leave a Comment